Russian Knights bersama tiga pasukan aerobatik negara lain pamer aksi pada LIMA 2023 | DagangNews Skip to main content

Russian Knights bersama tiga pasukan aerobatik negara lain pamer aksi pada LIMA 2023

Kehadiran delegasi Rusia turut memberi impak besar pada nilai komersial penganjuran LIMA kali ini.
oleh ZAKI SALLEH

KUALA LUMPUR 4 April - Kehadiran pasukan aerobatik Rusia, Russian Knights pada Pameran Aeorangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA '23) Mei nanti bakal menghangatkan lagi acara tersebut.

 

Bersama Russian Knights adalah tiga lagi pasukan aerobatik yang akan mempamerkan aksi iaitu pasukan Jupiter dari Indonesia, August 1st (China) dan Black Eagles (Korea Selatan).

 

Berbanding tiga pasukan lain, penyertaan Russian Knights memberi impak pada edisi LIMA kali ini kerana ia merupakan nama besar dalam aksi aerobatik udara yang tidak perlu diperkenalkan lagi. 

 

Kehadiran tim ini sememangnya dinanti-nantikan, apatah lagi hubungan sedia terjalin antara Malaysia-Rusia dalam bidang aeroangkasa. 

 

Justeru, konflik semasa antara Rusia-Ukraine dilihat tidak memberi kesan besar pada penyertaan negara tersebut ke Langkawi, tambahan pula dengan pendirian berkecuali Malaysia dalam isu berkenaan.


 

russian knights

 


Russian Knights menyimpul sejarah bersama LIMA apabila pertama kali beraksi di Langkawi pada LIMA 1991, diikuti tiga edisi berikutnya iaitu LIMA 1993, LIMA 1995 dan LIMA 2013.

 

Pada semua edisi LIMA ini, tim tersebut hadir bersama pesawat Sukhoi SU-27 Flanker yang merupakan pesawat pejuang utama Pasukan Pertahanan Udara Rusia. 

 

Pada LIMA 2017, Russian Knights tampil buat pertama kali bersama pesawat pejuang termoden negara itu, Sukhoi SU-30SM (Super Maneuver) atau juga dikenali sebagai Flanker C bagi panggilan NATO. 

 

Ketika itu, Langkawi menjadi pentas global pertama Russian Knights untuk mempertontonkan kehebatan teknologi industri aeroangkasa Rusia ini pada masyarakat dunia. 


 

parafrasa

 


Pesawat dua tempat duduk ini menggunakan sepasang enjin AL-31FP yang mempunyai kawalan tujahan vektor yang hampir sama dengan pesawat versi eksport ke India (Su-30MKI) yang dibina oleh firma Irkut pada tahun 2000. 

 

Perlu dijelaskan, selaku pasukan aerobatik utama negara kuasa Eropah Timur itu, Russian Knights turut berperanan sebagai duta selain tampil mempertontonkan kecanggihan teknologi industri aeroangkasa Rusia. 

 

Russian Knights juga tidak tampil sebarangan, sebaliknya hanya hadir mengadakan pertunjukan di negara berstatus sahabat baik.

 

Sehubungan itu, kedudukan LIMA sebagai pameran udara berprestij di Asia Pasifik selain hubungan akrab Malaysia-Rusia menyaksikan pasukan ini hadir sekali lagi ke Langkawi. 

 

Pada masa sama, Rusia juga mahu 'menjual' kehebatan pesawat Sukhoi SU-30SM.


 

Sukhoi SU-30SM

 


Disifatkan sebagai antara pasukan aerobatik terbaik di dunia, kemunculan Russian Knights dalam pertunjukkan udara di pentas global sememangnya dinanti-nantikan. 

 

Keunikan pasukan aerobatik Rusia ialah kemampuan juruterbangnya untuk menerbangkan pesawat kelas ‘berat’ atau‘ air superioriti’ ini dengan daya maneuver yang mengkagumkan. 

 

Malah, pasukan aerobatik Russian Knights merupakan satu-satunya di dunia yang menggunakan pesawat tempur kelas sedemikian untuk pertunjukan. 

 

Ini kerana hampir kebanyakan pasukan aerobatik lain menggunakan pesawat ringan atau sederhana dan hanya mempamerkan aksi aerobatik secara solo sekiranya menggunakan pesawat tempur kelas berat. 


 

russian
Pasukan Black Eagles dengan pesawat T-50B pasti mencuri tumpuan.

 


Seperti dijangka, Korea Selatan ingin menjadikan LIMA '23 sebagai pentas menonjolkan kemampuan industri aeroangkasanya setelah memenangi kontrak perolehan pesawat dwifungsi tempur ringan (LCA) Malaysia.

 

Black Eagles menerbangkan pesawat T-50B buatan Korea Aerospace Industries (KAI) iaitu versi latihan bagi pesawat FA-50 yang bakal diperoleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

 

Hadir pertama kali ke Langkawi semasa LIMA 2017, kunjungan Black Eagles kali ini juga pasti mencuri tumpuan pada trend sebilangan masyarakat Malaysia begitu terdorong dengan budaya hiburan K-Pop.

 

Ini kerana penampilan juruterbang pasukan ini juga persis artis yang pastinya bakal menyuntik nilai komersial berganda pada penganjuran LIMA '23.

 

Pasukan Black Eagles mengandungi 10 buah pesawat untuk dibawa menyertai pameran udara terkemuka dunia seperti Farnborough International Air Show.

 

Bagaimana pun, jumlah pesawat untuk pertunjukan aerobatik cuma lapan.


 

parafrasa
Jupiter TNI-AU hadir sekali lagi ke Langkawi untuk mempamerkan aksi.

 


Pasukan aerobatik negara jiran Jupiter sekali lagi bertandang ke Langkawi selepas penyertaan pada LIMA 2019.

 

Jupiter merupakan pasukan aerobatik yang terdiri daripada jurulatih penerbang Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) menggunakan pesawat KT-1B Wong Bee buatan Korea Selatan.

 

Kehadiran pasukan ini juga membuktikan sokongan negara jiran terhadap penganjuran LIMA dan pada masa sama ingin mempamerkan kecekapan angkatan udara Indonesia.

 

Tidak mahu ketinggalan untuk mempamerkan teknologi aeorangkasa ialah China dengan menghadirkan pasukan aerobatik August 1st.


 

parafrasa

 

irsyad
China menghadirkan pasukanaerobatik August 1st yang mengoperasikan pesawat tempur J-10.

 


Ini merupakan penyertaan kali kedua pasukan ini yang mengoperasikan pesawat tempur pelbagai peranan jenis Chengdu J-10 selepas LIMA 2015.

 

Walaupun China tidak berjaya dalam persaingan bagi program LCA TUDM dengan mempertaruhkan pesawat JF-17 Thunder, namun dalam konteks industri ia bukan masalah untuk tidak hadir ke Langkawi.

 

Tambahan pula dengan hubungan diplomatik dan ekonomi yang erat antara Malaysia-China, kehadiran August 1st dilihat sebagai sokongan negara tembok besar itu pada LIMA.


 

parafrasa

 


LIMA telah berkembang dengan kepentingan strategik Malaysia di rantau ini, bersama-sama dengan peningkatan belanjawan pertahanan negara-negara berdekatan.

 

Ini menjadikan acara itu sebagai platform pemasaran yang ideal untuk industri pertahanan khususnya aeroangkasa dan maritim. - DagangNews.com