SACC Mall sah akan dirobohkan, diganti pusat pameran bertaraf dunia | DagangNews Skip to main content

SACC Mall sah akan dirobohkan, diganti pusat pameran bertaraf dunia

KUALA LUMPUR 26 Julai - SACC Mall akan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembangunan mega Shah Alam Sentral (SA Sentral) di kawasan Seksyen 14, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Datuk Mahmud Abbas.

 

Beliau berkata, sebuah pusat pameran bertaraf dunia akan dibina bagi menggantikan pusat beli-belah itu.

 

Katanya, PKNS merancang untuk membangunkan SA Sentral sebagai daerah perniagaan pusat (CBD) merentasi tanah seluas 64.7 hektar sebagai sebahagian daripada inisiatif transformasinya.

 

 

Dilaporkan projek bernilai RM2 bilion itu melibatkan beberapa plot di kawasan Seksyen 14 termasuk Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

 

 

pkns
Gambaran pelukis pembangunan di pusat bandar raya Shah Alam. - Gambar ihsan PKNS

 

 

Menurut Mahmud, SA Sentral akan menampilkan pembangunan kediaman, ruang komersial, dan elemen warisan budaya, sama seperti segi tiga emas Kuala Lumpur.

 

"Apa yang kami cuba lakukan ialah menghidupkan semula Seksyen 14 Shah Alam dan menjadikannya CBD, bagi memastikan ia berjaya, kita memerlukan perniagaan untuk berada di sana.

 

"Kawasan itu akan mempunyai elemen kediaman, komersial, pejabat, taman, rekreasi, perpustakaan, kawasan pameran dan stesen LRT, antara lain," katanya kepada Business Times.

 

Beliau berkata, PKNS beralih daripada imej sebelumnya sebagai pemaju perumahan kos rendah kepada lebih dipacu secara komersial, perlu melalui pengurangan pembiayaan negeri, termasuk premium tanah.

 

"Kami membelanjakan RM63 juta setahun untuk CSR. Jika kami mengambil 5% daripada margin bersih pembangunan perumahan untuk menampung kos CSR, kami perlu menjual hartanah bernilai RM1.2 bilion," katanya.

 

Beliau juga berkata, PKNS tidak lagi menumpukan kepada pembinaan rumah mampu milik, kerana pemaju lain kini memenuhi permintaan itu.

 

Memandang ke hadapan, PKNS menyasarkan untuk menggandakan pendapatan semasanya kepada RM8 bilion menjelang 2030.

 

PKNS yang akan meraikan ulang tahunnya yang ke-60 bakal melakukan penjenamaan semula bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam mencapai matlamat Rancangan Pertama Selangor (RS-1).

 

Mahmud berkata, syarikat itu telah mempelbagaikan perniagaan melangkaui pembangunan hartanah, dengan anak syarikat dalam tenaga boleh diperbaharui (RE), pengurusan sisa dan pembuatan peranti perubatan melalui Worldwide Holdings Sdn Bhd.

 

Selain itu, Selgate Corp Sdn Bhd menawarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan, manakala Selangor Industrial Corp Sdn Bhd terlibat dalam perdagangan bahan binaan, insurans, teknologi pintar dan hijau, dan solar atas bumbung.

 

Beliau berkata, loji janakuasa syarikat di Pulau Indah, dijangka beroperasi menjelang akhir tahun, akan menjana pendapatan tambahan RM2 bilion. - DagangNews.com