Saham berkaitan perbankan dan Petronas heret turun KLCI, ringgit pula susut RM4.20 | DagangNews Skip to main content

Saham berkaitan perbankan dan Petronas heret turun KLCI, ringgit pula susut RM4.20

 

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 14 Julai - Indeks utama FBM KLCI masih mengekalkan dagangan pada paras rintangan 1,500 mata meskipun berdepan ketidaktentuan akibat peningkatan jangkitan harian COVID-19. 

 

Petang ini, KLCI ditutup pada 1,512.32 mata setelah susut 7.24 mata sejajar dengan pasaran utama Asia, diheret turun kaunter berkaitan perbankan dan Petronas.

 

Ia menyaksikan 4.38 bilion saham diniagakan bernilai RM2.99 bilion dengan kaunter rugi mengatasi untung pada 542 berbanding 411 manakala 465 kaunter tidak berubah.

 

Kes jangkitan hari ini kekal lebih 11,000 dengan merekodkan 11,618 kes, sekali gus yang tertinggi pernah direkodkan di negara ini menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 867,567 kes.

 

Selangor masih menjadi penyumbang utama kes baharu dengan 5,051 kes dikesan di negeri berkenaan, diikuti Kuala Lumpur 1,749 kes dan Negeri Sembilan (1,537).

 

Malacca Securities Sdn. Bhd. berkata, meskipun dagangan pagi dibuka tinggi didorong minat belian tetapi ia dijangka lebih terbatas berikutan kebimbangan terhadap lonjakan kes harian COVID-19 yang mencecah paras tertinggi baharu apabila lebih banyak kes varian Delta dikesan.

 

Bagi saham-saham utama perbankan, antaranya, Hong Leong Bank Bhd. susut 1.73% kepada RM18.18 manakala Hong Leong Financial Group Bhd. jatuh 1.99% kepada RM17.74 diikuti Maybank susut 0.12% kepada RM8.05 dan Public Bank Bhd. susut 0.25% kepada RM4.07.

 

Sementara itu, saham Petronas Gas Bhd. susut 0.51% kepada RM15.6 diikuti Petronas Chemicals Group Bhd. susut 0.86% kepada RM8.03 dan Petronas Dagangan Bhd. susut 0.21% kepada RM19.04.

 

Kaunter rugi pula didahului saham termasuklah Genetec Technology Bhd. ditutup rendah petang ini pada RM18 setelah susut 2.69% manakala Nestle (Malaysia) Bhd. susut 0.75% kepada RM133.20.

 

Untuk saham aktif pula, Pasukhas Group Bhd. ditutup rendah setelah jatuh 30.3% kepada 23 sen diikuti Serba Dinamik Holdings Bhd. susut 7.87% kepada 41 sen.

 

Bagaimanapun, saham Sedania Innovator Bhd. menokok 6.67% kepada 88 sen diikuti Kanger International Bhd. naik 8.3% kepada 6.5 sen. 

 

Dalam kalangan kaunter untung pula, Malaysian Pacific Industries Bhd. mendahului cara dengan melonjak 5.92% kepada RM43.32 dan Allianz Malaysia Bhd-ICPS naik 10.67% kepada RM13.28. 

 

Bagi pasaran kewangan pula, ringgit lemah dalam dagangan hari ini dengan mencecah RM4.20 berbanding dolar Amerika (AS), paras terendah sejak Ogos 2020.

 

Mengulas mengenai ringgit, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, perkembangan di AS sedikit sebanyak menyumbang kepada kelembapan nilai ringgit berbanding dolar AS berikutan peningkatan kasar inflasi AS kepada 5.4% pada Jun berbanding 5% pada tempoh sebelumnya. 

 

"Kenaikan kadar iinflasi di AS seolah-olah menggambarkan kenaikan kadar faedah di AS bakal berlaku lebih awal daripada jangkaan. 

 

"Di samping itu, program pembelian aset iaitu QE juga bakal dikurangkan disebabkan petunjuk ekonomi AS dilihat semakin baik, justeru, perkara ini telah memberi sokongan kepada peningkatan nilai dolar AS," katanya kepada DagangNews.com.

 

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi MIDF, Abdul Muiz Morhalim berkata, kebimbangan mengenai prospek pertumbuhan ekonomi negara berikutan jumlah jangkitan COVID-19 yang terus meningkat turut memberi kesan kepada kelemahan ringgit.

 

Di samping itu, data terbaru yang diumum semalam menunjukkan kadar inflasi AS terus meningkat dan ini memberi sokongan kepada dolar AS untuk mengukuh kerana pasaran menjangkakan Rizab Persekutuan akan mula mengetatkan dasar (monetari) bagi mengawal inflasi daripada terus meningkat.

 

"Mengambil kira kelemahan ringgit yang terkini, kami jangkakan ringgit akan mengukuh ke paras RM4.05 pada penghujung tahun ini, iaitu peningkatan yang lebih perlahan berbanding RM3.95 yang diunjurkan sebelum ini.

 

"Secara umumnya, kami berpendapat kelemahan nilai ringgit buat masa ini adalah bersifat sementara," jelasnya. 

 

Beliau berkata, tidak dinafikan suasana pandemik dalam negara masih amat membimbangkan tetapi aktiviti ekonomi dijangka kembali pulih apabila sekatan-sekatan daripada Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan dilonggarkan khususnya apabila keadaan kesihatan awam semakin baik. - DagangNews.com