Saham Cocoaland terlebih nilai berdasarkan prospek pasaran yang statik | DagangNews Skip to main content

Saham Cocoaland terlebih nilai berdasarkan prospek pasaran yang statik

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Okt - Tawaran harga RM1.50 bagi setiap saham Cocoaland Holdings Berhad yang diambil alih Fraser & Neave Holdings Berhad (F&N) adalah terlebih nilai berdasarkan kepada pertumbuhan statik dalam pasaran manisan selain kebimbangan ramai terhadap gaya hidup sihat.

 

BIMB Securities berkata, selain itu, ia juga turut terkesan dengan kenaikan harga bahan mentah.

 

Katanya, penilaian itudisokong oleh kebimbangan pengguna tentang isu kesihatan seperti obesiti dan diabetes, menjadikan pasaran manisan semakin mencabar selain menjejaskan permintaanya. 

 

"Cita rasa dan pilihan pengguna sentiasa berubah yang boleh digantikan dengan mudah oleh produk manisan lain.

 

"Margin kumpulan dijangka terus terkesan kesan daripada kenaikan harga kos bahan semasa seperti gula dan gelatin selain gangguan logistik serta rantaian bekalan global," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, Cocoaland mengumumkan bahawa 20 Oktober merupakan hari terakhir dagangan saham kumpulan sebelum digantung bermula 21 Oktober 2022 bagi membolehkan ia disyah senarai.

 

Kesemua baki saham kumpulan itu akan diambil alih F&N dan ia akan diserahkan kepada Awana Citra Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat F&N.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'jual' terhadap saham Cocoaland dengan harga sasaran (TP) RM1.22.

 

"Kami juga kekal berhati-hati dengan prospek perniagaan kumpulan memandangkan produknya tidak kalis kemelesetan yang mungkin berhadapan dengan persekitaran perniagaan yang mencabar dan kos input yang lebih tinggi," katanya. - DagangNews.com