Saham Genetec jatuh, Pelikan, Pasukhas, Tex Cycle, NWP, KAB, DNex pula rancak diniagakan | DagangNews Skip to main content

Saham Genetec jatuh, Pelikan, Pasukhas, Tex Cycle, NWP, KAB, DNex pula rancak diniagakan

 

 

KUALA LUMPUR 14 Julai - Bursa Malaysia meneruskan momentumnya dalam pembukaan dagangan pagi yang kukuh menokok 2.82 mata kepada 1,522.38 mata.

 

Di sebalik mencatatkan kes harian COVID-19 tertinggi sebanyak 11,079, semalam pasaran tempatan ditutup tinggi kepada 1,519.56 mata didorong kadar vaksinasi harian negara mencecah 421,479 dos.

 

Dalam kalangan saham aktif pagi ini, Pelikan International Corporation Bhd. rancak diniagakan dengan dibuka 2.08% kepada 49 sen. 

 

Ini diikuti dengan kaunter Pasukhas Group Bhd. naik 7.58% kepada 35.5 sen manakala Tex Cycle Technology (M) Bhd. menokok 8.08% kepada 53.5 sen. 

 

Selain itu, NWP Holdings Bhd. naik 2.38% kepada 21.5 sen diikuti Kejuruteraan Asastera Berhad (KAB) naik 3.03% kepada 85 sen dan Dagang Nexchange Bhd (DNex) naik 7% kepada 72 sen. 

 

Apa yang menarik dalam dagangan pagi ini, saham Genetec Technology Bhd. jatuh 4.63% kepada RM17.72 setelah mencecah setinggi RM18.58 dalam penutupan semalam.

 

Ia sekali gus meletakkan syarikat teknologi ini dalam kalangan kaunter paling untung di bursa tempatan.

 

Tumpuan juga boleh diberikan kepada saham-saham seperti Sedania Innovator Bhd., Sime Darby Plantation Bhd., Boustead Plantations Bhd, Ramssol Group Bhd. dan Genetec Technology Bhd. berikutan pengumuman korporat mereka semalam. 

 

Mengulas mengenai pergerakan pasaran hari ini, Inter-Pacific Research dalam nota kajian berkata, di sebalik pasaran yang kembali pulih semalam, keadaan pasaran dilihat masih lancar berikutan kurangnya ketidaktentuan sentimen politik dan ekonomi secara meluas dan mengekalkan tekanan penurunan untuk lebih lama.

 

"Tetapi, peningkatan jangkitan harian COVID-19 dan jangkaan kes akan kekal tinggi dalam tempoh beberapa minggu, akan menjejaskan prospek dalam tempoh terdekat, yang mana kemungkinan sekatan pergerakan dilanjutkan. 

 

"Ini secara tidak langsung menjejaskan harapan untuk melihat pemulihan ekonomi dengan lebih pantas," katanya. - DagangNews.com