Saham Serba Dinamik rancak diniagakan, Hartalega, Top Glove, Supermax kekal rugi | DagangNews Skip to main content

Saham Serba Dinamik rancak diniagakan, Hartalega, Top Glove, Supermax kekal rugi

Gambar Reuters

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Julai - Pasaran saham tempatan berjaya dibuka lebih tinggi sedikit walaupun dalam jajaran yang kecil seiring lonjakan semalaman oleh pasaran ekuiti di Amerika Syarikat (AS). 

 

Indeks utama, FBM KLCI dibuka 3.2 mata lebih tinggi kepada 1,515.7 daripada paras yang ditutup petang semalam, 1,512.53.

 

Saham Serba Dinamik kembali mengungguli kaunter paling rancak diniagakan selepas mengumumkan pelantikan Nexia SSY PLT (Nexia) sebagai pengaudit luar syarikat. 

 

Harga sahamnya melonjak 1 sen atau 2.38% kepada 43 sen daripada paras yang ditutup petang semalam, 43 sen setakat 9.19 pagi. 

 

Ini diikuti oleh saham BCM Alliance Berhad yang turut beraksi positif apabila menokok 0.5 sen kepada 16 sen setakat 9.21 pagi. 

 

Turut aktif diniagakan adalah saham PUC Berhad, TSR Capital Berhad, Pasukhas Group Berhad, Careplus Group Berhad dan Vertice Berhad. 

 

Beralih ke kaunter paling rugi, saham-saham sarung tangan getah kekal mendahuluinya selepas berakhir negatif pada penutupan petang semalam. 

 

Saham Hartalega Holdings Berhad mencatatkan kerugian terbesar dengan penurunan 12 sen kepada RM7.27 setakat 9.26 pagi. 

 

Turut menerima tempias negatif itu adalah saham Top Glove Corporation Berhad yang merosot 10 sen kepada RM4.00. 

 

Saham Kossan Rubber Industries Berhad dan Supermax Corporation Berhad, masing-masing menyusut 7 sen kepada RM3.19 dan 8 sen kepada RM3.36.

 

Saham Genetec Technology Berhad sebaliknya mencatatkan keuntungan tertinggi apabila menokok 76 sen kepada RM19.48. 

 

Ini diikuti oleh saham Malaysian Pacific Industries Berhad, Nestle (Malaysia) Berhad, Heineken Malaysia Berhad dan Kein Hing International Berhad. 

 

Secara keseluruhannya, dagangan pada pagi ini berprestasi agak positif apabila jumlah kaunter untung iaitu 284 mengatasi jumlah kaunter rugi sebanyak 221. - DagangNews.com