Samaiden dijangka peroleh 10% projek EPCC, 100 MW pemilikan aset LSS5 - Apex Securities | DagangNews Skip to main content

Samaiden dijangka peroleh 10% projek EPCC, 100 MW pemilikan aset LSS5 - Apex Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Sept - Samaiden Group Bhd dijangka memperoleh sekurang-kurangnya 10% (bersamaan 200MW) projek pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) selain 100MW dalam pemilikan aset daripada projek solar berskala besar 5 (LSS5).

 

Apex Securities berkata, pihaknya menganggarkan inisiatif itu boleh menjana nilai projek sebanyak RM600 juta dengan pengebilan kontrak utama dijangka bermula pada 2HFY25.

 

Dari segi sejarah, Samaiden telah menguasai 15% bahagian pasaran dalam kitaran LSS. 

 

"Disokong oleh rekod prestasi kukuh dalam segmen solar, kami percaya sasaran 10% dan pemilikan aset LSS5 boleh dicapai," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Buku pesanan semasa Samaiden berjumlah RM313.5 juta (C&I: 30%, Biojisim: 30%, dengan baki daripada sumber RE lain), bersamaan dengan 1.8x hasil FY23.

 

Dalam tempoh terdekat, firma penyelidikan itu menjangkakan kejayaan projek baharu akan diperoleh terutamanya daripada tender CGPP 800MW.

 

Digabungkan dengan Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS), kuota Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) 450MW dan penurunan dalam harga modul solar, kami percaya faktor-faktor ini akan memacu lagi pelaburan solar, menjadikan Samaiden sibuk sehingga 2028.

 

Apex Securities menyukai kumpulan itu kerana kedudukannya sebagai pakar dalam projek solar fotovoltaik (PV) yang dipasang di tanah dan nisbah penggearannya yang rendah iaitu 0.05x pada FY24 berbanding rakan setaranya.

 

Pada masa sama, kumpulan itu mempunyai kepakaran dalam rumusan biotenaga, menjadikannya berbeza daripada pemain EPCC solar yang lain.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.66 sesaham," katanya. - DagangNews.com