Samsung lancar Business TV untuk PKS | DagangNews Skip to main content

Samsung lancar Business TV untuk PKS

Business TV

KUALA LUMPUR 28 Julai - Samsung Electronics Co. Ltd. melancarkan teknologi terbaharunya dikenali dengan nama Business TV yang dibangunkan khas untuk memudahkan urusan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Naib Presiden Kanan Perniagaan Paparan Visual Samsung Elektronik, Hyesung Ha berkata, Business TV itu memberi kelebihan ideal kepada pengguna untuk berkomunikasi dengan pelanggan melalui visual yang lebih mengagumkan.

"Banyak perniagaan kecil mencari jalan yang mudah untuk berkomunikasi dengan pelanggan mereka. Business TV  ini memberikan paparan yang mengagumkan kepada pengusaha dengan rangkaian dan format yang luar biasa. 

"Teknologi itu juga boleh digunakan melalui aplikasi di telefon pintar yang memudahkan lagi pengguna untuk meningkatkan tahap komunikasi bersama pelanggan dengan lebih pantas," jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Business TV Samsung boleh diakses melalui Android dan iOS yang membenarkan pengguna menyelia kandungan perniagaan dari jarak jauh yang dihubungkan menggunakan telefon pintar beribadi pengguna.

Pengguna diberi kelebihan yang mudah untuk melakukan proses suntingan, kajian dan perkongsian kandungan perniagaan.

Teknologi tersebut juga menampilkan penataan visual yang menakjubkan melalui resolusi UHD dan paparan kristal yang memberi ekspresi warna yang optimum dan cerah.

Dari segi penggunaan, teknologi tersebut mampu beroperasi untuk perniagaan harian dengan masa 16 jam sehari dalam seminggu di samping lanjutan bagi tempoh jaminan barangan.

Jelas Ha, teknologi tersebut tampil dengan empat saiz berbeza berukuran 43, 50, 65, dan 75 inci selain turut mengandungi lebih 100 templat promosi pra-muat dan pra-reka yang dapat membantu menjimatkan masa dan kos pengusaha perniagaan.

"Business TV Samsung ini sesuai untuk pelbagai jenis kedai dan perniagaan yang ingin mengoptimumkan penggunaan teknologi TV dan tidak merumitkan," jelasnya. - DagangNews.com