KUALA LUMPUR 27 April - Sarawak Cable Bhd mencatatkan kerugian bersih RM14.2 juta atau kerugian 3.55 sen sesaham bagi suku ketiga berakhir 28 Februari 2023 (3QFY2023) dengan hasil RM130.55 juta.
Tiada angka perbandingan untuk tempoh yang sama tahun sebelumnya kerana syarikat telah menukar akhir tahun kewangannya dari 31 Disember kepada 31 Mei.
Jumlah kerugian bersihnya bagi sembilan bulan terkumpul berakhir 28 Februari (9MFY2023) ialah RM26.44 juta atau 6.63 sen sesaham, manakala jumlah hasil berjumlah RM455.94 juta, menurut syarikat kabel kuasa dan wayar di Bursa Malaysia.
Sarawak Cable berkata, prestasi syarikat terjejas oleh hasil yang lebih rendah daripada segmen kabel dan wayar yang menyumbang 84.9% daripada jumlah pendapatannya untuk 9MFY2023.
Segmen itu mencatatkan hasil dan kerugian sebelum cukai (LBT) masing-masing sebanyak RM387.1 juta dan RM23.6 juta.
“Penurunan hasil yang tidak mencukupi untuk menyerap overhed operasi menyebabkan sedikit penurunan dalam margin kasar. Bagaimanapun, ini telah dikurangkan dengan peningkatan hasil daripada segmen pembinaan talian penghantaran disebabkan lebih banyak aktiviti di tapak,” katanya.
Mengenai prospeknya, Sarawak Cable berkata ia kini sedang menjalankan program penstrukturan semula untuk memulihkan prestasi dan kedudukan kewangannya, yang dijangka siap pada separuh pertama 2023.
Dalam pemfailan berasingan, kumpulan itu mengumumkan peletakan jawatan Joseph Nixon S. Loudersamy sebagai pemangku ketua pegawai eksekutif (CEO)nya atas sebab peribadi.
Russel Walter Boyd, yang mempunyai pengalaman luas dalam urus niaga kewangan dan pasaran modal, telah dilantik sebagai CEO baharu kumpulan itu.
Peletakan jawatan dan pelantikan itu berkuat kuasa mulai 26 April 2023. - DagangNews.com