Sarung tangan getah kekal pacu eksport 2021? | DagangNews Skip to main content

Sarung tangan getah kekal pacu eksport 2021?

Sarung tangan getah

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 18 Feb. - Industri sarung tangan getah dilihat terus berpeluang untuk mendominasi dan memacu pertumbuhan eksport negara pada 2021.

 

MIDF Research berkata, perkara itu dinilai berdasarkan kepada permintaan produk sarung tangan getah yang kekal cerah pada masa akan datang.

 

"Permintaan sarung tangan yang tinggi akan berterusan tahun ini terutamanya disebabkan oleh peningkatan jangkitan di seluruh dunia.

 

"Jumlah kes harian COVID-19 daripada pengimport utama produk getah Malaysia seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Jerman dan Jepun melonjak ke paras tertinggi pada tempoh Disember 2020 hingga Januari 2021.

 

"Meskipun jumlah jangkitan mula berkurangan susulan sekatan pergerakan di kebanyakan negara, ia tetap meningkat berbanding awal penularan pandemik pada 2020 sekali gus meningkatkan permintaan sarung tangan getah," jelas MIDF Research.

 

Produk berasaskan getah menjadi penyumbang peratusan tertinggi sebanyak 1.8% kepada eksport keseluruhan negara pada 2020.

 

Sumbangan tersebut mendorong Malaysia untuk mencatatkan kadar eksport yang lebih baik berbanding negara-negara ASEAN-5 lain pada tahun 2020.

 

Daripada produk getah tersebut, hampir 80% jumlah eksport tersebut adalah melibatkan sarung tangan getah.

 

Dalam nota kajian sama, MIDF Research memberitahu, pemberian vaksin turut menjadi faktor kepada permintaan sarung tangan getah nitril.

 

"Setakat 16 Februari 2021, kira-kira 94.6 juta orang telah menerima suntikan vaksin COVID-19.

 

"Jumlah tersebut bagaimanapun hanyalah sekitar 1.2% daripada jumlah populasi dunia yang dianggarkan sebanyak 7.8 bilion.

 

"Perkara itu secara tidak langsung membuka peluang kepada permintaan sarung tangan yang lebih tinggi sekiranya semua manusia merima vaksin berkenaan," jelas nota kajian itu lagi.

 

Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) turut menjangkakan permintaan sarung tangan getah akan terus meningkat sebanyak 15% hingga 20% pada setiap tahun akan datang.

 

Dalam pada itu, MIDF Research berpendapat, kesedaran kebersihan di negara-negara membangun turut menjadi pemacu kepada pertumbuhan permintaan sarung tangan getah.

 

"Sebelum wabak, AS dan negara-negara Eropah berpendapatan tinggi mencatatkan penggunaan sarung tangan tertinggi per kapita melibihi 100 keping.

 

"Sebaliknya, di beberapa buah negara yang mempunyai penduduk paling ramai seperti China, India dan Indonesia mencatatkan penggunaan sarung tangan per kapita pada kadar satu digit.

 

"Kami berpendapat bahawa penularan pandemik yang berlaku akan membuatkan pembuat dasar untuk meningkatkan lagi SOP keselamatan dan perubatan agar lebih bersedia sekiranya berdepan dengan ancaman kesihatan seterusnya," ujar MIDF Research lagi. - DagangNews.com