KUALA LUMPUR 3 Okt - Saudee Group Berhad menerusi anak syarikatnya, Saudi Cold Storage Sdn. Bhd. memeterai perjanjian usahsama (JVA) bersama NetX Holdings Berhad bagi menubuh dan mengendalikan kedai rantaian makanan segera dengan jenama Saudi Burger.
Kumpulan berkata, perniagaan itu meyaksikan NetX akan memiliki 51% pegangan ekuiti dan Saudi Cold Storage memiliki baki 49% dalam Saudi Burger.
Saudi Burger akan merintis francais utama rantaian makanan segera baharu di tengah-tengah Kuala Lumpur dengan kedai pertama itu terletak di pintu masuk Palza Sungei Wang.
Rangkaian makanan segera baharu itu akan menampilkan menu inovatif seperti Burger Grill Eggcellent, Burger Rangup Saudi dan Burger Keju Lada Hitam.
Pengarah Eksekutif NetX, Steve Tan berkata, menerusi kerjasama itu, pihaknya menjangkakan pembukaan 20 cawangan baharu dalam tempoh tiga tahun akan datang.
"Jalinan kerjasama ini adalah bagi memberikan pengalaman makanan segera baharu kepada orang ramai," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Saudee, Patrick Ting berkata, pihaknya sentiasa komited untuk menyampaikan produk makanan terbaik kepada pengguna.
"Jalinan kerjasama NetX dalam penciptaan Saudi Burger, pemegang francais induk untuk jenama ini, membolehkan kami menerapkan kualiti dan kepakaran kami," katanya.
Cawangan pertama Saudi Burger di Plaza Sungei Wang Plaza, dijangka dibuka pada Disember 2023. - DagangNews.com