'Saya sudah lepaskan jawatan pengarah dalam Kumpulan Kenanga' - Tengku Zafrul | DagangNews Skip to main content

'Saya sudah lepaskan jawatan pengarah dalam Kumpulan Kenanga' - Tengku Zafrul

 

 


KUALA LUMPUR 4 Okt. - Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan beliau 
sudah melepaskan jawatan pengarah ketika meninggalkan Kumpulan Kenanga pada Jun 2010.

 

Ini susulan laporan diterbitkan Malaysiakini hari ini bertajuk 'Politicians, Ministers and Malaysian Uber Rich Revealed in Latest Offshore Leak'.

 

Ekoran laporan berkenaan, Tengku Zafrul telah merujuk perkara ini kepada peguamnya untuk mendapatkan nasihat lanjut dan mengambil tindakan susulan sewajarnya. 

 

Langkah itu diambil memandangkan portal tersebut masih 'berdegil' melaporkan mengenai perkara demkian meskipun telah dijelaskan kepada Malaysiakini oleh pejabat beliau.

 

"Walaupun pejabat saya ketika dihubungi sudah memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa saya telah melepaskan jawatan pengarah ketika saya meninggalkan Kumpulan Kenanga pada Jun 2010, mereka tetap menerbitkan artikel tersebut.

 

"Mereka juga membabitkan nama saya dengan memberi gambaran bahawa saya masih mempunyai kaitan dengan Capital Investment (Labuan) Limited, walhal ia adalah sebahagian daripada Kumpulan Kenanga," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Beliau juga menjelaskan, jawatan Pengarah Kumpulan dan ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif Kenanga Holdings Bhd itu dipegang mulai Januari 2009 hingga Jun 2010. 

 

Melalui jawatan tersebut, beliau telah dilantik sebagai pengarah di beberapa anak syarikat atau syarikat bersekutu Kumpulan Kenanga, termasuk di Capital Investment Bank (Labuan) Limited.

 

"Pada Jun 2010, saya telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Maybank Investment Bank Bhd dan telah melepaskan kesemua perlantikan saya sebagai eksekutif dan pengarah di dalam Kumpulan Kenanga," tegas beliau. - DagangNews.com