KUALA LUMPUR 2 Nov - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan agensi pertanian utama baru-baru ini mengadakan perbincangan mengenai kaedah menangani jurang pembiayaan yang dihadapi oleh Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKS) yang terlibat dalam sektor pertanian dalam usaha meningkatkan keselamatan makanan negara.
Seramai 40 wakil agensi dan pemain industri menghadiri bengkel GROW iaitu program kerjasama baharu di bawah inisiatif utama fintech SC, SCxSC.
GROW merupakan satu usaha sama antara SC dan rakan kongsi ekosistem bagi memanfaatkan potensi platform digital penjanaan dana alternatif dan bertujuan memenuhi keperluan pemain yang kurang mendapat perhatian dalam sektor strategik seperti pertanian.
Pendanaan ramai ekuiti atau equity crowdfunding (ECF) dan pembiayaan peer-to-peer (pembiayaan P2P) adalah antara mekanisme pembiayaan alternatif yang dibincangkan.
Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin menekankan kepentingan meluaskan akses kepada pasaran modal untuk perniagaan tempatan.
"Kami telah melihat bagaimana teknologi telah memperluas pembiayaan melalui platform digital seperti pendanaan ECF dan pembiayaan P2P.
"Kami percaya saluran pembiayaan alternatif ini berpotensi untuk menangani beberapa keperluan pembiayaan PKS dalam sektor pertanian juga," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
SC merancang untuk melangsungkan penglibatan industri yang lebih luas bersama pemegang kepentingan utama pada tahun hadapan termasuk menganjurkan Persidangan GROW Fintech, kemudian diikuti bengkel GROW di seluruh negara untuk meningkatkan kesedaran mengenai pendanaan ECF dan pembiayaan P2P sebagai pilihan pembiayaan yang berdaya maju untuk PKS asas tani.
Program-program itu akan melengkapkan usaha berterusan kerajaan untuk menyokong pengumpulan dana alternatif oleh perniagaan pertanian seperti Malaysia Co-investment Fund (MyCIF).
MyCIF merupakan sebuah inisiatif pelaburan awam-swasta yang ditadbir oleh SC bagi pihak Kementerian Kewangan dan telah melihat peningkatan penggunaan kempen ECF dalam sektor pertanian selepas melaksanakan nisbah khas 1:2 pada 2022 dalam sektor ini.
MyCIF telah melabur sebanyak RM1 untuk setiap RM2 yang diperoleh daripada pelabur swasta melalui platform yang diambil bahagian oleh penerbit yang layak. - DagangNews.com