SC kenakan pertuduhan terhadap 2 pasangan suami isteri terlibat aktiviti penggubahan wang haram RM7.2 juta | DagangNews Skip to main content

SC kenakan pertuduhan terhadap 2 pasangan suami isteri terlibat aktiviti penggubahan wang haram RM7.2 juta

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Nov - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengenakan pertuduhan terhadap empat individu, yang juga pasangan suami isteri, pada 10 dan 11 November 2022 kerana terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram membabitkan hasil yang menyalahi undang-undang daripada aktiviti nasihat pelaburan tidak berlesen berjumlah lebih RM7.2 juta.

 

Kedua-dua pasangan, Tan Soon Hin dan Teh An See serta Mohamad Afiq Md Isa dan Natasha Mohamed dikenakan pertuduhan dibawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

 

Soon Hin dan An See berdepan 10 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM6 juta untuk tempoh Januari 2020 dan November 2021.

 

Soon Hin menghadapi lima pertuduhan di bawah AMLATFPUAA dan beliau telah dimasukkan dalam Senarai Makluman Pelabur SC pada tahun 2019.

 

An See yang merupakan pemilik tunggal Miracle Fortune Trends Enterprise, juga menghadapi lima pertuduhan di bawah akta yang sama.


Bagaimanapun kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah dan memohon agar dibicarakan untuk semua pertuduhan.

 

Hakim Mahkamah Sesyen, M. Bakri Abd Majid membenarkan ikat jamin sebanyak RM400,000 dengan seorang penjamin kepada Soon Hin manakala di mahkamah lain Hakim Mahkamah Sesyen Kamarudin Kamsun membenarkan ikat jamin sebanyak RM500,000  dengan seorang penjamin kepada An See. 

 

Mereka juga diperintahkan untuk menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dikehendaki melaporkan diri kepada Pegawai Penyiasat SC setiap bulan.

 

Sementara itu, Mohamad Afiq dan isterinya, Natasha, berdepan lapan pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA atas kesalahan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM1.2 juta antara Mei 2020 dan Oktober 2021.

 

Berdasarkan pertuduhan, Mohamad Afiq merupakan pemilik tunggal Pelham Blue Enterprise (PBE) dan pengarah serta pemegang saham PBF Resources Sdn Bhd (PBF). 

 

PBE dan platform media sosialnya, Pelham Blue Fund telah dimasukkan dalam Senarai Makluman Pelabur SC pada tahun 2021.

 

Kedua-dua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan dan Kamarudin membenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin kepada Natasha selain mengarahkan agar pasport mereka diserahkan.


Hakim yang sama juga telah membenarkan ikat jamin sebanyak RM80,000 dengan seorang penjamin kepada Mohamad Afiq.

 

Jika sabit kesalahan, keempat-empat individu ini boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan dikenakan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah yang diperoleh daripada pengubahan wang haram, atau pun RM5 juta, mana yang lebih tinggi. - DagangNews.com