SC mulakan kohort kedua Program Kepimpinan investED, terbuka kepada semua graduan Malaysia  | DagangNews Skip to main content

SC mulakan kohort kedua Program Kepimpinan investED, terbuka kepada semua graduan Malaysia 

Kohort kedua Program Kepimpinan investED
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memulakan kohort kedua Program Kepimpinan investED, sebuah inisiatif yang diterajuinya bagi memastikan saluran bakat graduan yang mampan dalam industri pasaran modal. 

 

Inisiatif yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jun 2023 itu bertujuan untuk membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan tempatan. 

 

Ini merupakan kerjasama pertama antara SC, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengajian Tinggi, industri pasaran modal dan universiti. 

 

Menurut SC, program investED itu terbuka kepada semua graduan Malaysia dari semua disiplin serta menawarkan penempatan kepada 268 pelatih bagi kohort kedua. 

 

SC berkata, seramai 197 pelatih telah memulakan latihan kelas komprehensif selama sebulan di Asia School of Business, Kuala Lumpur pada 1 Ogos 2024. 

 

“Program ini juga akan memberikan peluang pengalaman bekerja selama enam bulan dengan rakan kongsi industri terkemuka, mulai 1 September 2024,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

 

Kata SC, lebih 65% daripada mereka ditawarkan pekerjaan dengan rakan kongsi investED. 

 

Di samping itu, program itu telah melibatkan rangkaian syarikat rakan kongsi yang lebih luas pada tahun ini termasuk bank pelaburan, syarikat broker saham, syarikat pengurusan dana, platform pendanaan ramai ekuiti dan khidmat nasihat. 

 

SC melaporkan sebanyak 50 syarikat rakan kongsi telah bersetuju untuk menempatkan pelatih bagi kohort kedua. 

 

“Syarikat hos yang ditawarkan termasuk SC, Kenanga Investment Bank Berhad, Moomoo Securities Sdn Bhd, Hong Leong Group, Affin Hwang Investment Bank dan Maybank,” ulasnya. 

 

Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata kerjasama dengan pelbagai syarikat akan memberikan pendedahan berharga dalam pelbagai aspek industri, di samping menawarkan pelatih pengalaman yang menyeluruh. 

 

Sejak penubuhannya, investED juga telah mengadakan aktiviti libat urus bersama 77,185 pelajar universiti melalui lapan pameran kerjaya dan 36 ceramah kerjaya di seluruh negara.- DagangNews.com