KUALA LUMPUR 1 Julai - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengumumkan beberapa pindaan kepada Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), yang berkuat kuasa pada 1 Julai
2021.
Pindaan tersebut, yang dikuatkuasakan melalui perubahan kepada Jadual 6 dan 7 CMSA, telah memperluas kategori pelabur sofistikated, untuk merangkumi antara lain, individu dengan pelaburan bernilai RM1 juta dalam produk pasaran modal, sama ada secara sendiri atau melalui akaun bersama dengan pasangan mereka; Ketua Pegawai Eksekutif dan pengarah berlesen atau individu yang berdaftar di bawah CMSA; dan syarikat-syarikat yang menguruskan dana syarikat berkaitan mereka dengan aset melebihi RM10 juta.
Pindaan ini akan membolehkan lebih banyak pelabur memperluaskan pilihan pelaburan mereka manakala penerbit kini dapat meraih manfaat daripada kumpulan pelabur sofistikated yang lebih besar.
Senarai penuh kriteria kelayakan pelabur sofistikated boleh didapati di
https://www.sc.com.my/regulation/acts/capital-markets-and-services-act2007/sophisticated-investors.
Di samping itu, pindaan kepada Jadual 6 dan 7 akan membolehkan Bursa Malaysia melaksanakan pendaftaran prospektus bagi Pasaran ACE berkuat kuasa 1 Januari 2022.
Setelah pemindahan fungsi pendaftaran tersebut, yang kini dilakukan oleh SC, Bursa akan menjadi pusat sehenti untuk semua kelulusan yang berkaitan dengan penyenaraian di Pasaran ACE.
Sementara itu, Jadual 5 CMSA, yang menetapkan jenis cadangan korporat yang tidak memerlukan kelulusan SC, juga telah dipinda dengan memasukkan perkara yang berikut:
a. Penawaran bursa awal bagi aset digital melalui Pengendali Pasaran yang Diiktiraf;
dan
b. Tawaran awam awal (IPO) atau penyenaraian silang saham-saham syarikat awam
atau syarikat tersenarai di bursa saham di luar Malaysia.
Sila layari https://www.sc.com.my/regulation/acts/capital-markets-and-services-act-2007 untuk maklumat lebih lanjut mengenai pindaan tersebut. - DagangNews.com