KUALA LUMPUR 24 Mei - Scientex Bhd menerusi Scientex (Skudai) Sdn Bhd telah memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan Land Capacity Sdn Bhd bagi cadangan pengambilalihan 37 lot tanah berharga RM462.5 juta dengan keluasan 286.7 hektar di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang bagi meningkatkan jumlah bank tanah kumpulan.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, cadangan pengambilalihan membolehkan kumpulan menambah dan meningkatkan simpanan tanah sedia ada di wilayah utara pada kos yang berpatutan.
Katanya, ia merupakan peluang pelaburan strategik kumpulan bagi mengembangkan rekod prestasi pembangunannya di Pulau Pinang untuk meningkatkan potensi pendapatan kumpulan dalam jangka masa panjang.
"Pengembangan bank tanah ini juga selaras dengan matlamat Scientex untuk membina lebih banyak rumah mampu milik bagi memenuhi objektif kumpulan untuk menyediakan 50,000 rumah mampu milik di seluruh negara menjelang 2028.
"Tanah itu dijangka menyediakan model pembangunan hartanah yang mantap dan mampan kerana Scientex terus memberi tumpuan kepada hartanah bertanah dengan harga mampu milik dengan permintaan kekal teguh dan berdaya tahan," katanya.
Tanah itu terletak 17km dari Taman Perindustrian Batu Kawan dan 6km dari Plaza Tol Jawi.
Ia berada dalam radius 10km dari Bandar Nibong Tebal dan lebih kurang 5.5km dari Bandar Sungai Jawi. Tambahan pula, ia terletak berdekatan dengan Pusat Golf Bukit Jawi dan Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM).
Kumpulan itu berkata, tanah itu akan menyediakan peluang kepada kumpulan itu bagi mencipta nilai ekonomi yang lebih besar dan meningkatkan potensi pendapatan Scientex dalam jangka masa sederhana dan panjang kerana ia mempunyai potensi pembangunan yang menjanjikan.
Cadangan pengambilalihan membolehkan Scientex memanfaatkan model perniagaannya yang sedia ada dalam menyediakan hartanah mampu milik dan berkualiti kepada kategori pasaran hartanah mampu milik dalam jangka sederhana. - DagangNews.com