KUALA LUMPUR 17 Sept. - Kedai permainan di Perak, SEA Gamer Mall mengesahkah pihaknya menerima surat dakwaan dari Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS), (DoJ) hari ini.
Surat dakwaan tersebut adalah berkaitan dengan penglibatan dua kakitangan eksekutif kanannya yang dipercayai melakukan kegiatan penggodaman global sejak enam tahun lalu.
Penerimaan surat dakwaan tersebut disahkan oleh Ketua Pegawai Operasinya, Tommy Chieng.
"Apa yang saya boleh katakan, kami melihat surat dakwaan tersebut. Dan surat itu sedang diuruskan oleh peguam kami," jelasnya seperti dipetik Malay Mail.
Menurut laporan The Star, kedua-dua kakitangan eksekutif kanan yang terlibat itu dikenali sebagai Wong Ong Hua dan Ling Yang Ching.
Kedua-dua individu tersebut didakwa telah melakukan beberapa jenayah iaitu melakukan pemerasan, konspirasi, pencurian identiti, penipuan alatan akses dan pengubahan wang haram.
Jenayah tersebut melanggar Akta Penipuan dan Penyalahguaan Komputer serta kesalahan pemalsuan pendataran nama domain.
Laporan DoJ AS memberitahu, kedua-dua individu tersebut telah ditangkap pada 14 September dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan sedang menghadapi proses ekstradisi.
Menurut laman web syarikat permainan berkenaan, Wong adalah Pengasas dan Ketua Eksekutif SEA Gamer Mall yang berpusat di Sitiawan, Perak.
Manakala Ling pula disenaraikan sebagai rakan kongsi dan Ketua Pegawai Produk di syarikat berkenaan.
Terdahulu, Timbalan Peguam Negara AS, Jeffrey A. Rosen dalam satu kenyataan memberitahu, lima warganegara China dan dua rakyat Malaysia terlibat dalam operasi penggodaman global bagi mencuri identiti dan teknologi permainan video serta mengintip aktiviti Hong Kong.
Jelasnya lagi, pihak defendan China menyasarkan lebih daripada 100 mangsa yang terlibat di seluruh dunia dalam pelbagai industri dan sektor.
Dalam laporan sama, beliau memberitahu, penggodam menggunakan taktik licik yang dikenali sebagai 'supply chain attack' yang membolehkan penggodam China melakukan pencerobohan terhadap perisian di seluruh dunia.
Teknik itu juga memberi peluang kepada mereka untuk mengubah kod penyedia dan memasang 'backdoors' bagi melakukan aktiviti sama kepada penyedia perisian lain.
Menurut laporan DoJ, jenayah siber yang dijalankan oleh Wong dan Ling itu adalah hasil operasinya melalui SEA Gamer Mall.
SEA Gamer Mall ditubuhkan pada 2007 dan mempunyai pejabat operasi di China, Thailand dan Indonesia. - DagangNews.com