Bank Islam, institusi kewangan pertama Malaysia lahirkan 86 Penasihat Kewangan Hijau Diiktiraf | DagangNews Skip to main content

Bank Islam, institusi kewangan pertama Malaysia lahirkan 86 Penasihat Kewangan Hijau Diiktiraf

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Dato’ Mohd Muazzam Mohamed (lima dari kanan) dan Pengarah Latihan Perbankan Komersial ABS, Dr. Lim Guan Chye (tiga dari kiri) semasa Majlis Graduasi Penasihat Kewangan Hijau Diiktiraf yang diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 26 Nov - Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menjadi bank pertama di Malaysia yang melahirkan 86 Penasihat Kewangan Hijau Diiktiraf (CGFA), sekali gus mengukuhkan komitmen bank terhadap kelestarian, hasil daripada program latihan komprehensif yang dibangunkan bersama Asian Banking School (ABS).

 

Program itu memberi tumpuan kepada pegawai yang berurusan secara langsung dengan pelanggan, seperti penasihat pelanggan dan penganalisis kredit, untuk memperkasakan mereka dalam menyediakan penyelesaian pembiayaan hijau yang mampan yang selaras dengan matlamat ekonomi dan alam sekitar jangka panjang. 

 

Majlis graduasi yang baru-baru ini berlangsung turut dihadiri Pengarah Latihan Perbankan Komersial di ABS, Dr. Lim Guan Chye dan Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan Bank Islam, Iskandar Shah Zulkarnain.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Dato’ Mohd Muazzam Mohamed berkata, program CGFA yang bermula pada tahun 2022, membantu kakitangan menyediakan penyelesaian pembiayaan hijau terbaik untuk menyokong pembangunan mampan serta memberikan impak positif terhadap alam sekitar. 

 

"Program ini bertujuan mempertingkatkan kemahiran dalam bidang utama seperti nasihat kepada pelanggan, pengurusan risiko, penilaian wajar dan penyusunan produk kewangan mampan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Guan Chye pula memuji Bank Islam atas komitmennya untuk memajukan kelestarian dalam sektor kewangan, mengiktiraf program terbabit sebagai langkah utama dalam memberdayakan tenaga kerja bank untuk memimpin usaha pemuliharaan alam sekitar melalui kewangan hijau.

 

Komitmen berterusan Bank Islam termasuk meningkatkan kepakaran kakitangan dalam bidang kelestarian dan memperluaskan produk kewangan hijau serta mampan. 

 

Sehingga 30 Jun 2024, bank itu telah mencatatkan RM47.7 bilion dalam pembiayaan hijau, melepasi sasaran awal RM4 bilion menjelang 2025, sekali gus menunjukkan sokongan mereka terhadap inisiatif pertumbuhan hijau. - DagangNews.com