Haily menang kontrak bernilai RM115.1 juta projek kediaman di Johor, terbesar pada 2024 | DagangNews Skip to main content

Haily menang kontrak bernilai RM115.1 juta projek kediaman di Johor, terbesar pada 2024

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 26 Nov - Haily Group Bhd (Haily) memperoleh kontrak bernilai RM115.1 juta, yang juga kontrak terbesar tahun ini, bagi kerja-kerja pembinaan unit kediaman di Johor Bahru.

 

Kontrak yang dianugerahkan oleh Permas Jaya Sdn Bhd, anak syarikat kepada Bandar Raya Developments Bhd itu, melibatkan projek di Bandar Baru Permas Jaya yang terdiri daripada dua fasa, merangkumi 184 unit rumah kluster dua tingkat, 12 unit rumah separa teres dua tingkat, dan dua unit rumah banglo dua tingkat.

 

Pengasas dan Pengarah Eksekutif Haily, See Tin Hai berkata, kejayaan memperoleh kontrak tersebut menegaskan komitmennya dalam menyediakan pembangunan kediaman berkualiti tinggi yang memenuhi keperluan pemilik rumah di Johor.

 

"Kami berbangga dapat menyumbang kepada pembangunan Bandar Baru Permas Jaya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

 

Dengan kontrak baharu berkenaan, kumpulan sedang melaksanakan 25 projek dengan nilai keseluruhan RM1.11 bilion.

 

Kontrak terbabit juga menjadikan jumlah kemenangan kontrak kumpulan bagi tahun 2024 mencecah RM732.41 juta, melepasi RM272.14 juta yang diperoleh pada 2023.

 

Haily turut menambah bahawa projek baharu itu dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatannya untuk tahun kewangan yang berakhir pada 2025 dan 2026.

 

Saham Haily ditutup tidak berubah pada harga 24 sen, dengan nilai pasaran kumpulan sebanyak RM94.15 juta. - DagangNews.com