NEW YORK 29 Julai - Akaun Twitter anak lelaki Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump Jr. disekat buat sementara waktu ekoran tindakannya memuat naik video yang memaparkan maklumat kurang tepat berkaitan COVID-19.
Menurut jurucakap Twitter, video yang dimuat naik itu memaparkan seorang doktor membuat perkongsian kurang tepat, meragukan dan mendakwa pelitup muka adalah tidak diperlukan bagi mengurangkan risiko jangkitan wabak.
Menurut laporan CNN juga, hasil siasatan mendapati video tersebut diterbitkan oleh syarikat media sayap kanan, Breitbart News dan menjadi tular dalam media sosial pada Isnin lalu.
Susulan itu, Twitter bertindak menyekat akaun tersebut termasuk tidak membenarkan sebarang aktiviti ciapan selama 12 jam.
Namun, akaun Twitter tersebut tidak disekat secara kekal.
Perkara tersebut juga disahkan oleh jurucakap kepada Trump Jr. menerusi satu ciapan di Twitternya.
Selain meminta Trump Jr. memadam video berkenaan, syarikat tersebut juga telah membuang video berkenaan daripada pandangan umum.
Selain Twitter, Facebook dan YouTube juga bertindak menghapuskan video tersebut setelah menjadi tular di media sosial.
Jelas Twitter lagi, Trump juga bertindak membuat ciapan beberapa video di akaun Twitter miliknya, namun kandungan video tersebut adalah tidak sama dengan apa yang dimuat naik anak lelakinya.
"Hanya anaknya berbuat demikian, itulah sebab Twitter hanya mengambil tindakan terhadap akaun anak lelakinya," jelas jurucakap Twitter. - DagangNews.com