Sedania giat laksanakan Transformasi Strategik Perniagaan, teroka peluang baharu dalam pasaran konsumer | DagangNews Skip to main content

Sedania giat laksanakan Transformasi Strategik Perniagaan, teroka peluang baharu dalam pasaran konsumer

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Sedania Innovator Berhad mencatat hasil sebanyak RM78.3 juta untuk penyata kewangan 18M24 yang belum diaudit bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (FY2024), satu peningkatan ketara daripada jumlah pendapatan RM38.35 juta bagi penyata kewangan 12M24 yang telah diaudit bagi FY2022.

 

Dalam satu kenyataan, Sedania berkata, prestasi FY2024 menunjukkan pertumbuhan yang dipergiat dalam tempoh transformasi, disokong oleh pendapatan yang stabil dan berdaya tahan berpunca dari model perniagaan terkini berasaskan pengguna yang pelbagai.

 

Sedania mencatat kerugian sebelum cukai sebanyak RM0.57 juta bagi FY2024 bersandarkan penyusutan nilai sekali (one-time impairment) bagi segmen Tenaga Lestari, lantas menunjukkan langkah jelas dalam proses transformasi ini.

 

Pengerusi Tan Sri Abdul Halim Ali berkata, perkembangan Sedania bagi tahun kewangan ini menunjukkan titik permulaan yang penting dalam perjalanan transformasi syarikat ini.

 

 

Tan Sri Abdul Halim Ali
        Tan Sri Abdul Halim Ali

 

 

"Prestasi suku semasa kami mencerminkan keputusan strategik yang diambil untuk mengkalibrasi semula segmen Tenaga Lestari kami. Langkah ini penting untuk memastikan asas yang kukuh bagi pertumbuhan jangka panjang kami.

 

"Kemajuan perniagaan yang dicapai setakat ini dalam segmen FMCG Lestari dan Teknologi Pengguna Lestari sudah menunjukkan bahawa kami sedang menuju ke arah model perniagaan yang lestari.”

 

“Dalam melangkah ke fasa baharu, kami komited untuk memastikan tempoh pangkalibrasian strategi ini melahirkan pertumbuhan mampan disamping mencipta nilai untuk pihak-pihak berkepentingan kami, sejajar dengan misi kami untuk memperbaiki kehidupan secara lestari,” kata beliau.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd Noor berkata, “Dalam pelaksanaan transformasi kami, Sedania telah menunjukkan prestasi pendapatan yang positif dengan trajektori yang meningkat. Ini membuktikan ketahanan model perniagaan berorientasikan pengguna kami.

 

"Dengan peralihan kepada sektor konsumer, kedayasaingan perniagaan teras kami bukan sahaja dapat mengukuhkan keupayaan kami untuk menghadapi sebarang cabaran tetapi juga menetapkan asas yang kukuh untuk pertumbuhan yang mampan untuk masa yang akan datang.

 

"Melihat ke hadapan, strategi kami untuk menumpukan usaha kami dalam segmen FMCG Lestari dan segmen Teknologi Pengguna Lestari dijangka akan meningkatkan pertumbuhan pendapatan (topline and bottomline) kami.

 

 

Datuk Azrin Mohd Noor
                        Datuk Azrin Mohd Noor

 

 

“Saya berasa amat teruja dengan prospek pertumbuhan baharu yang digerakkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ng Hock Guan dan disokong oleh pasukan Pengurusan kami; manakala Ahli Lembaga Pengarah baharu Sedania, Tun Md Raus Sharif (bekas Ketua Hakim Negara Malaysia) juga menyumbang pandangan dan perspektif yang bernas dan strategik kepada Lembaga Pengarah."

 

“Dengan pelancaran produk baharu dan penyusunan semula model kos kami, segmen FMCG Lestari kami, yang didorong oleh jenama Offspring dan Tanamera, bersama perniagaan Pengilangan Jenama Asal (OBM) Halal kami, FA Herbs Sdn Bhd, kami terus meningkatkan margin kami dan meningkatkan kecekapan operasi kami.

 

"Objektif strategik Sedania untuk tahun kewangan akan datang 2025 adalah untuk mengembang dan memupuk pertumbuhan dinamik semua segmen perniagaan kami,” ujar Azrin. - DagangNews.com