KUALA LUMPUR 26 Ogos - Segmen penyelenggaraan akan kekal sebagai penyumbang hasil dan keuntungan utama buat Protasco Berhad bagi FY22.
Malacca Securities berkata, segmen itu akan disokong oleh perjanjian konsesi jangka panjang melibatkan dua jalan persekutuan dan lima jalan negeri yang akan menjamin pendapatan berulang sehingga 2029.
Katanya, perjanjian konsesi itu akan turut disokong tempahan sedia ada sebanyak RM4.2 bilion.
"Prospek kumpulan itu bagaimanapun kekal mencabar bagi sektor pembinaan dengan mereka berdepan kenaikan kos bahan binaan yang akan menjejaskan margin keuntungan industri pembinaan secara am," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Mengulas mengenai segmen hartanah, firma itu berkata, kumpulan itu akan melancarkan pembangunan Fasa 1 Tampin merangkumi kediaman bertanah yang melibatkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM21 juta pada 2HFY22.
Katanya, kumpulan itu juga akan melancarkan Sentrio, Pasir Gudang merangkumi pembangunan rumah kedai yang akan melibatkan GDV berjumlah RM65 juta juga pada separuh kedua 2022.
"Segmen tenaga bersih akan disokong oleh pendapatan yang stabil daripada projek loji solar fotovoltaik berskala besar (LSS PV) 9.0-MW di Masjid Tanah, Melaka.
"Segmen hospitaliti juga memberikan peningkatan sederhana apabila aktiviti pelancongan meningkat selaras dengan pemulihan ekonomi," katanya.
Firma itu berkata, kesan daripada landskap operasi yang sukar, pihaknya menyemak turun unjuran pendapatan sebanyak 80.6% dan 50.3% kepada RM3.4 juta dan RM13.8 juta untuk FY22 and FY23.
"Kami juga menyemak turun saranan kepada 'pegang' berbanding 'beli sebelum ini dengan harga sasaran (TP) 18 sen," katanya. - DagangNews.com