Segmen PeopleTech diramal terus menjadi penyumbang terbesar pendapatan Ramssol pada FY24 hingga FY26 | DagangNews Skip to main content

Segmen PeopleTech diramal terus menjadi penyumbang terbesar pendapatan Ramssol pada FY24 hingga FY26

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Julai - Segmen teknologi insan (PeopleTech) yang diterajui pengurusan modal insan (HCM) diramal terus menjadi penyumbang pendapatan terbesar Ramssol Group Bhd bagi FY24 hingga FY26.

 

CGS International berkata, hasil daripada segmen itu disumbangkan daripada pelaksanaan dan pengagihan lesen.

 

Katanya, ia akan disokong penawaran sistem HCM yang luas, termasuk Oracle, Darwinbox dan ZingHR, yang boleh memenuhi pelbagai saiz perusahaan, digabungkan dengan pertumbuhan struktur dalam penggunaan proses automasi oleh perusahaan.

 

"Sementara itu, kami menjangkakan sumbangan daripada platform RiderGate akan meningkat secara beransur-ansur menjelang penghujung FY24 dan awal FY25 selepas dilancarkan kepada umum sepenuhnya.

 

"Berikutan pra pelancaran platform itu pada 24 Februari 2024, ia telah menerima kira-kira 260 pengedar motosikal untuk transaksi motosikal baharu dan terpakai.

 

"Kami mengekalkan jangkaan bahawa platform itu akan terus beroperasi pada asas sifar yuran, dengan pendapatan tambahan mungkin muncul bermula FY25 dan seterusnya dengan penggabungan lebih banyak ciri-ciri baharu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu adalah sebanyak RM8.45 juta meningkat 104.6% bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 (1HFY24), berbanding RM4.13 juta tempoh yang sama tahun lepas.

 

Pertumbuhan itu adalah dipacu oleh projek margin tinggi dan pengedaran lesen HCM.

 

Keputusan kumpulan bagi 1HFY24 telah pun melepasi keputusan tahun penuhnya untuk tahun sebelumnya, dengan mereka mencatatkan hasil sebanyak RM31.73 juta bagi tempoh terkumpul berakhir 30 Jun 2024, mewakili peningkatan yang luar biasa sebanyak 91.4% daripada RM16.58 juta bagi tempoh yang sama pada 2023.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 48 sen sesaham.- DagangNews.com