KUALA LUMPUR 22 Feb - Segmen produk pengguna Hextar Global Berhad mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM1.1 juta pada FY21 membuatkan pengurusan kumpulan mengambil keputusan mengubah hala tuju perniagaan dengan mempelbagaikan saluran pengedaran bagi produk berkenaan.
Public Investment Bank berkata, penurunan dalam segmen itu adalah disebabkan oleh sekatan perjalanan bagi tahun kewangan tersebut selain penggunan pengedar tunggal bagi segmen itu.
"Segmen pertanian kekal menjadi penyumbang utama kepada perkembangan syarikat dan ia dicerminkan oleh pendapatan sebanyak RM120.8 juta bagi 4QFY21 dengan keuntungan bersih sebanyak RM15.4 juta.
"Pihak pengurusan melihat segmen itu akan terus memberikan sumbangan mampan kepada pendapatan syarikat pada masa akan datang dan ia disokong oleh pembangunan produk baharu untuk memberikan kelebihan dalam pasaran," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Terdahulu, kumpulan itu merekodkan keuntungan bersih RM14.26 juta untuk 4QFY21 yang berakhir pada 31 Disember 2021 atau peningkatan sebanyak 24.6% daripada RM11.46 juta untuk suku yang sama tahun sebelumnya.
Pendapatan syarikat itu meningkat sebanyak 35.6% kepada RM138 juta dan ia disumbangkan oleh segmen kimia yang baharu diperolehinya menerusi sumbangan sebanyak RM30.6 juta manakala segmen pertanian meningkat sebanyak RM6.5 juta.
BACA JUGA: Hextar rekod keuntungan bersih RM14.26 juta bagi 4QFY21
Firma penyelidikan itu berkata, permintaan terhadap segmen kimia dijangka terus meningkat pada 2022 dan ia didorong oleh sektor pembuatan industri dengan ekonomi global terus menunjukkan usaha ke arah pemulihan.
Fima itu menyemak semula saranan mereka kepada 'neutral' untuk saham Hextar Global dengan nilai sasaran tidak berubah sebanyak RM1.71 sesaham kerana pendapatan yang positif daripada aktiviti pengambilalihan syarikat selain kebolehan pengurusan memberi nilai tambah kepada pemegang saham.
"Kami gembira dengan prospek Hextar Global kerana perkembangan kumpulan didorong oleh kedudukan kepemimpinan mereka dalam sektor agrokimia domestik," katanya. - DagangNews.com