Segmen rumusan semikonduktor Mi Technovation dijangka terima manfaat peningkatan jualan EV China | DagangNews Skip to main content

Segmen rumusan semikonduktor Mi Technovation dijangka terima manfaat peningkatan jualan EV China

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Jun - CGS International menjangkakan segmen perniagaan rumusan semikonduktor (SSBU) Mi Technovation akan menerima manfaat daripada peningkatan penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE) serta jualan kenderaan elektrik (EV) China.

 

Katanya, pihaknya menggabungkan sumbangan hasil SSBU sebanyak RM30 juta/RM60 juta pada FY25/FY26, kerana ia telah membuat kemajuan dalam menambah lebih banyak keupayaan dan tenaga manusia untuk meningkatkan jualan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pelaburan awal AS$30 juta untuk segmen itu bagi membangunkan kemudahan penyelidikan dan kajian (R&D) serta pembuatan di China yang menyaksikan penjanaan hasil yang kecil pada suku ertama tahun ini melalui pra-operasi.

 

"Apabila operasi semakin meningkat, kami menjangkakan kumpulan itu akan melihat peningkatan secara beransur-ansur untuk aplikasi modul kuasanya dalam memenuhi keperluan RE dan industri EV.

 

"Kami juga menyukai bahawa China adalah pasaran tumpuan SSBU kerana EV negara itu berkemungkinan terus memperoleh bahagian pasaran volum jualan melalui tawaran kompetitif berbanding OEM EV bukan dari negara itu," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

CGS International berkata, China juga sedang mencari lokasi bagi membina kemudahan pengeluaran EV di luar negara ini sebangai faktor pengurangan kepada tarif import.

 

"Memandangkan keupayaan segmen akan diperluaskan kepada reka bentuk cip bahagian hadapan dan rumusan reka bentuk pembungkusan bahagian belakang, kami juga berpendapat ia akan mendapat manfaat daripada pengeluaran cip dari negara itu," katanya.

 

Firma penyelidikan itu melihat peningkatan jumlah jualan untuk pengendali ujian dan peralatan ikatan mampatan laser kumpulan itu daripada pelanggan utama di China, Taiwan dan Korea Selatan.

 

"Segmen bahan juga menunjukkan peningkatan jumlah melalui permintaan yang lebih tinggi untuk bahan pateri dan antara muka haba termaju baharu yang menyediakan proses pembungkusan bernilai tinggi untuk aplikasi pelayan," katanya.

 

CGS International menyemak naik penarafan kumpulan itu kepada 'tambah' berbanding 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM2.90 sesaham.- DagangNews.com