Sektor automotif 'sakit' jika PKP lebih sebulan | DagangNews Skip to main content

Sektor automotif 'sakit' jika PKP lebih sebulan

automotif

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Sektor automotif negara bakal menerima impak negatif sekiranya perintah berkurung akibat PKP terus dijalankan melebihi sebulan atau sebulan setengah.

 

MIDF Research berkata, ini akan mengganggu pergerakan pengguna dan memberi kesan kepada prestasi tempahan.

 

"Kami berpendapat bahawa jumlah keseluruhan industri (TIV) Januari mungkin tidak akan terjejas secara signifikan akibat PKP 2.0.

 

"Bagaimanapun, kami berpendapat sektor ini akan terjejas sekiranya perintah berkurung melebihi tempoh sebulan hingga sebulan setengah.

 

"Walaupun bilik pameran automotif dan kilang pembuatan dibenarkan beroperasi, pergerakan pengguna adalah terhad dan mungkin akan memberi kesan kepada jumlah tempahan untuk sementara waktu," jelas MIDF Research.

 

Tambah nota kajian itu, perkara itu bagaimanapun mampu diimbangi dan permintaan kembali 'lebat' setelah PKP ditamatkan didorong oleh lanjutan pengecualian cukai hingga Jun 2021.

 

MIDF Research juga meletakkan jangkaan sasaran TIV bagi tahun kewangan 2021 iaitu 550,000 unit dengan peningkatan 4% berbanding tahun sebelumnya.

 

Ramalan pihaknya lebih cenderung kepada perkembangan positif memandangkan PKP 2.0 yang membenarkan beberapa sektor ekonomi beroperasi berbanding PKP pertama, pengekalan kadar faedah yang rendah dan sentimen pelancaran vaksin.

 

Bagi TIV Disember 2020, sektor automotif mencatatkan sebanyak 68,836 unit didorong oleh kempen jualan akhir tahun dan peningkatan pembelian susulan pengecualian cukai yang pada awalnya tamat pada 31 Disember 2020.

 

"Kami mengekalkan saranan 'positif' bagi sektor automotif berdasarkan pemulihan TIV yang tinggi didorong oleh pengecualian cukai, kadar faedah yang rendah, peralihan penggunaan pengangkutan awam kepada kenderaan sendiri dan pemulihan makro," ujar MIDF Research. - DagangNews.com