Kiple, UiTM bekerjasama merevolusi pembayaran digital di 34 kampus | DagangNews Skip to main content

Kiple, UiTM bekerjasama merevolusi pembayaran digital di 34 kampus

Oleh Shamsiah Zulkafli

SHAH ALAM 7 Okt - Universiti Teknologi MARA (UiTM) kini melangkah ke era pembayaran digital dengan mengumumkan kerjasama strategik bersama syarikat teknologi kewangan terkemuka di Malaysia, Kiplepay Sdn. Bhd. (Kiple). 

 

Kerjasama itu dijangka merevolusikan sistem kewangan di semua 34 kampus UiTM di seluruh negara, dengan menawarkan pengalaman pembayaran yang lebih cekap, selamat dan inovatif.

 

Kiple
               Norhizam Kadir

 


 
Melalui kolaborasi tersebut, UiTM bakal memperkenalkan platform pembayaran digital terkini yang akan memperkukuhkan proses kewangan di universiti, dengan fokus utama pada automasi proses kewangan back-end. 

 

Ini merangkumi proses penyelarasan kewangan yang lebih cepat dan tepat, selain mengurangkan kesilapan kemasukan data secara manual. 

 

UiTM
                 Junita Jamaludin

 

Langkah itu dijangka meningkatkan ketepatan laporan kewangan, sekali gus menyokong pengurusan kewangan universiti yang lebih lancar dan berkesan.

 

Pengarah Eksekutif Kiple, Norhizam Kadir berkata, melalui pendekatan itu, pihaknya telah mempelbagaikan pembayaran digital di UiTM dengan menyediakan pelbagai pilihan pembayaran yang inovatif, proses penyelarasan kewangan yang cekap dan transaksi yang lebih lancar.

 

"Kerjasama ini bukan sekadar tentang transaksi, tetapi juga mengubah keseluruhan landskap cara UiTM mengurus aliran tunai, serta meningkatkan pengalaman bagi setiap individu di kampus," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sistem kewangan digital tersebut akan membolehkan UiTM mengawal dan menyelaras pelbagai transaksi secara masa nyata.

 

Di samping itu, pelaksanaan sistem terbabit juga dijangka meningkatkan keselamatan data serta mempermudah pelbagai transaksi, termasuk pembayaran rentas sempadan dan bayaran dalam talian melalui sistem FINePay, yang telah dilaksanakan untuk menyokong projek-projek seperti Giving@UiTM (wakaf, sedekah, endowmen dan CSR). 

 

Pemangku Bendahari UiTM, Junita Jamaludin berkata, UiTM sentiasa komited untuk kekal di hadapan dalam lanskap teknologi kewangan yang pesat berubah. 

 

"Melalui kerjasama dengan Kiple, kami memperkukuhkan komitmen ke arah kampus tanpa tunai, sejajar dengan trend global. Kami yakin inisiatif ini bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan kewangan universiti tetapi juga memperkukuh keyakinan semua pihak berkepentingan terhadap keselamatan dan ketelusan sistem kami," ujar beliau.

 

Sehingga kini, lebih 3,775 projek telah didaftarkan di bawah sistem itu, dengan 543,866 transaksi berjaya diproses secara dalam talian. 

 

Sistem berkenaan meliputi pelbagai perkhidmatan seperti bayaran seminar, kursus dan bengkel, membuktikan bahawa kampus tanpa tunai di UiTM bukan lagi satu visi, tetapi realiti.

 

Kerjasama strategik itu juga dijangka mengurangkan kos operasi universiti dengan ketara,  selain menyediakan platform kewangan yang mudah diakses dan berkesan dari segi kos.

 

Kedua-dua pihak optimis bahawa usaha tersebut akan membawa impak besar bukan sahaja  kepada UiTM, tetapi juga kepada komuniti pendidikan amnya, menjadi contoh teladan kepada  institusi pengajian tinggi lain dalam era pendigitalan kewangan.

 

Dengan pelaksanaan sistem kewangan digital yang terkini, UiTM dan Kiple bersedia mencipta  pencapaian baharu dalam landskap pendidikan digital Malaysia, sekali gus meningkatkan  pengalaman kampus yang lebih berdaya saing dan inovatif.  - DagangNews.com