Sektor bahan binaan dijangka catat peningkatan perlahan - RHB Research | DagangNews Skip to main content

Sektor bahan binaan dijangka catat peningkatan perlahan - RHB Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Mac - RHB Research menjangkakan sektor bahan binaan mencatatkan peningkatan perlahan didorong tekanan inflasi yang berkurangan, kekurangan bekalan berterusan bekalan aluminium global dan potensi peningkatan permintaan daripada pembukaan semula ekonomi China.

 

Firma itu berkata, pilihan utama sektor itu ialah Press Metal Aluminium Holdings Bhd (PMAH), memandangkan ia merupakan proksi sebagai pelebur aluminium karbon rendah di rantau ASEAN.

 

“Kumpulan itu juga merupakan penerima manfaat daripada peralihan permintaan struktur ke arah peleburan Asia selepas pengeluaran pelebur Eropah terjejas oleh krisis tenaga.

 

“Kami percaya pembuat simen di bawah liputan kami, terutamanya Cahya Mata Sarawak (CMS), merupakan penerima manfaat utama di bawah peruntukan Bajet 2023 yang lebih tinggi untuk Malaysia Timur (2023: RM12.1 bilion berbanding 2022: RM9.8 bilion).

 

"Kami juga menjangkakan permintaan untuk simen di Sarawak dapat memberikan keterlihatan pendapatan melalui projek pembinaan negeri yang sedang berjalan seperti Empangan Baleh (dijangka siap menjelang 2026), jalan pantai Sarawak dan jalan batang kedua, dan Lebuhraya Pan Borneo,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pengurusan PMAH kekal optimis dengan berhati-hati terhadap unjuran sektor aluminium, disokong oleh pembukaan semula ekonomi China (menyumbang 60% daripada permintaan global), tahap inventori global yang semakin ketat dan nisbah kos alumina-ke-aluminium yang menggalakkan.

 

“Syarikat itu mempunyai dasar lindung nilai 35-40% pada julat AS$2,400-2,500 untuk 2023, 30% pada AS$2,600 (2024), dan 15% pada AS$2,700 dan ke atas untuk 2025,” katanya.

 

Firma itu mengekalkan penarafan 'overweight' untuk sektor itu. - DagangNews.com