KUALA LUMPUR 18 Okt - MIDF Research mengunjurkan permintaan terhadap sektor hartanah akan terus mencatatkan pemulihan dengan jangkaan bahawa kadar dasar semalaman (OPR) tidak berubah bagi baki tahun ini.
Selain itu, katanya, keadaan hartanah tidak terjual berada dalam keadaan lebih baik di Malaysia dan ia merupakan petanda positif bagi prospek jangka pendek bagi sektor itu.
Katanya, jumlah pinjaman yang diluluskan bagi pembelian hartanah meningkat 7% dari bulan ke bulan kepada RM24.8 bilion pada Ogos 2023 berbanding penurunan sebanyak 3.7% dari bulan ke bulan pada Julai 2023.
"Pinjaman diluluskan yang lebih tinggi adalah sejajar dengan permohonan pinjaman yang lebih tinggi dan disokong lagi oleh peratusan yang lebih tinggi daripada jumlah yang diluluskan pinjaman melebihi jumlah permohonan pinjaman sebanyak 45.7% pada Ogos 2023 berbanding 44.8% pada Julai 2023.
"Pada asas tahunan, jumlah pinjaman yang diluluskan mencatatkan kenaikan empat kali berturut-turut sejak Mei 2023, menjadikan jumlah kumulatif pinjaman diluluskan dalam tempoh lapan bulan tahun ini lebih tinggi pada RM178.7 bilion," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, berdasarkan Belanjawan 2024, sektor hartanah dijangka mendapat manfaat daripada pelonggaran syarat permohonan Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang akan meningkatkan minat belian hartanah oleh warga asing.
Selain itu, peruntukan RM10 bilion disediakan bagi Skim Jaminan Kredit Perumahan yang akan memanfaatkan 40,000 peminjam, projek infrastruktur iaitu LRT 3 dan LRT Pulau Pinang yang akan menyokong permintaan hartanah di Lembah Klang dan Pulau Pinang.
Bagaimanapun, pengumuman duti setem kadar rata sebanyak 4% ke atas memorandum pemindahan (MOT) oleh bukan warganegara dan syarikat milik asing mungkin memberi kesan negatif kepada minat belian oleh warga asing.
"Secara keseluruhan, kami melihat sektor hartanah dalam keadaan positif berdasarkan pengumuman Belanjawan 2024 sebagai positif pelonggaran MM2H dan projek infrastruktur baharu seharusnya mengimbangi sedikit negatif duti setem ke atas MOT bagi warga asing," katanya. - DagangNews.com