KUALA LUMPUR 17 April - MIDF Research kekal positif terhadap sektor hartanah terutama dalam segmen pasaran pertengahan dan mampu milik didorong oleh minat belian yang kukuh dalam persekitaran kadar faedah normal.
Firma itu berkata, permohonan pinjaman dan data yang diluluskan pinjaman pada Februari 2023 adalah positif dan ia menunjukkan pemulihan dalam data pinjaman serta pemulihan dalam minat belian.
Katanya, jumlah pinjaman yang diluluskan untuk pembelian hartanah meningkat 26.6% dari bulan ke bulan pada Februari 2023 ke paras tertinggi dalam tempoh empat bulan.
Firma itu berkata, pinjaman yang diluluskan pulih daripada penurunan lima kali berturut-turut pada bulan sebelumnya, disokong oleh permohonan pinjaman yang lebih tinggi.
"Bagaimanapun, peningkatan itu sebahagiannya dinafikan oleh peratusan yang lebih rendah daripada jumlah pinjaman yang diluluskan berbanding jumlah permohonan pinjaman sebanyak 37.5% pada Februari 2023 (Januari 2023: 42%).
"Pada asas tahunan, pinjaman yang diluluskan melonjak sebanyak 31.8% selepas penurunan tiga kali berturut-turut pada November 2022 hingga Januari 2023.
"Kami berpendapat bahawa pinjaman yang diluluskan yang lebih tinggi mungkin memberi isyarat bahawa kesan negatif kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2022 telah berakhir dan prospek jualan untuk pemaju harus bertambah baik pada masa hadapan," katanya dalam satu nota kajian hari ini.
Firma itu berkata, menurut data yang dikeluarkan oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), jumlah transaksi hartanah melonjak sebanyak 29.5% kepada 389,107 transaksi pada 2022.
Katanya, peningkatan jumlah urus niaga disokong terutamanya oleh permintaan terpendam berikutan pembukaan semula sempadan Malaysia pada 2022.
"Jumlah urus niaga berkurangan pada 2020 dan 2021 disebabkan COVID-19 yang menyekat transaksi hartanah oleh pembeli asing.
"Urus niaga kediaman merupakan penyumbang terbesar kepada jumlah urus niaga pada 62.5%, diikuti oleh urus niaga pertanian pada 21.1% dan transaksi komersial pada 8.4%," katanya.
Firma itu kekal 'neutral' namun sedikit positif terhadap sektor itu. - DagangNews.com