Sektor kesihatan terima peruntukan RM36.3 bilion menerusi Belanjawan 2023 | DagangNews Skip to main content

Sektor kesihatan terima peruntukan RM36.3 bilion menerusi Belanjawan 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Feb - Sektor Kesihatan menerima peruntukan kedua terbesar dalam Belanjawan 2023 sebanyak RM36.3 bilion berbanding RM32.4 bilion pada tahun lalu.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, komponen utama peruntukan ini melibatkan keperluan perolehan ubat-ubatan, reagent, vaksin dan bahan guna habis selain turut disediakan peruntukan RM80 bilion bagi lantikan baharu secara tetap serta kontrak lebih 1,500 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi.

 

Beliau berkata, beberapa langkah akan diambil bagi mengatasi isu kesesakan di kemudahan kesihatan kerajaan.

 

Katanya, kapasiti kesihatan negara akan dioptimum dengan menyumber luar pesakit daripada hospital yang sesak kepada hospital lain termasuk hospital universiti, hospital tentera dan hospital swasta.

 

“Kerajaan akan memperkenalkan Skim Perubatan Madani khusus untuk golongan miskin mendapatkan rawatan kesihatan di klinik dan pengamal perubatan am swasta seperti mana yang dilaksanakan kerajaan Selangor.

 

“Kerajaan bercadang, hospital kebajikan yang berdaftar sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan diberi pengecualian cukai pendapatan bersamaan amaun perbelanjaan kebajikan.

 

“Para penderma juga akan mendapat potongan cukai sehingga 10%,” katanya pada sesi pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

 

bajet

 

Perdana Menteri menambah, bagi mengurangkan kesesakan di Hospital Melaka, kerajaan akan membina blok wanita dan kanak-kanak dengan kapasiti 476 katil pada kos hampir RM700 juta.

 

Beliau berkata, kerajaan juga akan memulakan kerja awalan untuk menaik taraf sebanyak 26 buah hospital termasuk pembesaran Hospital Kuala Kangsar, Perak; Jelebu, Negeri Sembilan dan juga Hospital Pontian, Johor.

 

Katanya, bermula 2019, kerajaan telah memperkenalkan Skim Peduli Kesihatan (PEKA B40) untuk menyediakan pemeriksaan atau saringan awal khas untuk golongan B40.

 

“Kerajaan menyediakan RM80 juta bagi memperkasa skim ini merangkumi saringan penyakit kencing manis.

 

“Mulai tahun taksiran 2023, had pelepasan cukai ke atas perbelanjaan rawatan perubatan akan dinaikkan daripada 8 ribu kepada RM10,000.

 

“Sebagai tambahan, skop pelepasan ini juga diluaskan meliputi kos pemulihan gangguan perkembangan saraf seperti Autisme, Down Syndrome dan Specific Learning Disabilities terhad kepada RM4,000,” katanya lagi. - DagangNews.com