KUALA LUMPUR 5 Okt - Sektor logistik mencatatkan penurunan hasil ketara disebabkan kelemahan permintaan yang menjurus ke arah normalisasi kadar tambang pengangkutan laut dan udara.
MIDF Research berkata, selain itu ia juga disebabkan penyelesaian keadaan trafik dan penghantaran kapal baharu
Katanya, apabila kadar stabil, keterlihatan pendapatan yang lebih baik dijangka dalam kalangan pemain industri di dalam sektor itu.
"Ini berdasarkan oleh keupayaan mereka untuk mendapatkan kadar tambang dengan pelanggan dan memanfaatkan kedudukan perundingan mereka yang kukuh dengan talian perkapalan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, permintaan untuk gudang diunjurkan mengekalkan kadar pertumbuhannya walaupun pemain industri mengakui bahawa kadar sewa mungkin menyederhana menerusi pengenalan kapasiti gudang tambahan yang lebih besar dalam dua tahun akan datang terutama di kawasan Shah Alam.
Bagaimanapun, keadaan itu akan menimbulkan cabaran yang lebih besar bagi pengendali gudang yang lebih kecil, kerana syarikat multinasional (MNC) semakin memihak kepada penyedia logistik yang mampu menampung keperluan penyatuan dan menyampaikan penyelesaian gudang yang dibuat khusus.
"Kami menyemak naik penarafan sektor itu daripada 'neutral' kepada 'positif' disokong prospek perdagangan yang lebih cerah semasa kami menghampiri 2024," katanya.
Pilihan utama firma itu ialah Swift Haulage Berhad (beli, TP: RM0.65) kerana ia memegang 9% bahagian pasaran yang dominan dalam segmen pengangkutan kontena, mencapai keuntungan secara konsisten dan prestasinya terlindung daripada turun naik kadar pengangkutan antarabangsa.
Mereka juga memilih Tasco Berhad (beli, TP: RM1.60) kerana pelanggannya mempunyai pendedahan yang ketara kepada pasaran E&E dan semikonduktor, yang telah memacu pertumbuhan eksport tempatan walaupun eksport keseluruhan merosot dan kumpulan itu dijangka mendapat manfaat daripada kredit cukai boleh dituntut yang besar hasil daripada pembinaan dua gudang baharunya. - DagangNews.com