Sektor pelabuhan, logistik berada di kedudukan terbaik raih manfaat daripada perjanjian RCEP, CPTPP - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Sektor pelabuhan, logistik berada di kedudukan terbaik raih manfaat daripada perjanjian RCEP, CPTPP - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Okt - Sektor pelabuhan dan logistik berada pada kedudukan yang baik bagi mendapat manfaat daripada prospek perdagangan yang positif dan pengesahan perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP)dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), baru-baru ini.

 

MIDF Research berkata, ia membentuk asas kepada mereka untuk menaikkan saranan sektor daripada neutral kepada positif.

 

"Pada masa ini, kami lebih mengutamakan syarikat logistik di bawah liputan kami berbanding pengendali pelabuhan kerana risiko penurunan yang boleh diramalkan yang lebih sedikit.

 

"Keutamaan ini disokong oleh penilaian menarik sektor ini, pada masa ini pada diskaun besar 40% hingga 50%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Selain itu, firma penyelidikan itu berkata, kebimbangan mengenai subsidi bersasar telah berkurangan kerana syarikat logistik akan mengekalkan akses mereka kepada diesel bersubsidi, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024.

 

Bagaimanapun, ini tidak dijangka menimbulkan kebimbangan yang ketara kerana mereka mungkin memasukkan klausa bahan api dalam kontrak dengan pelanggan.

 

"Kebimbangan utama bagi pengendali pelabuhan kekal pada kadar pertukaran dolar yang tinggi, yang boleh meningkatkan kos operasi disebabkan oleh Mean of Platts Singapore (MOPS) dalam denominasi dolar AS untuk penggunaan diesel," katanya.

 

MIDF Research berkata,  Swift Haulage (beli, TP: 65 sen) antara syarikat yang dijangka memanfaatkan prospek perdagangan yang positif kerana mereka menguasai 9% bahagian pasaran yang dominan dalam perniagaan pengangkutan kontena.

 

"Swift Haulage telah mengembangkan armada mereka dengan menambah 50 penggerak utama tahun lepas, meletakkan di kedudukan terbaik bagi pertumbuhan yang dijangkakan dalam jumlah pengangkutan darat.

 

"Pada masa sama, kami menyukai Tasco (BELI, TP: RM1.60) kerana kedudukannya yang kukuh dalam perniagaan logistik dan ia diperkukuh lagi dengan hubungan rapatnya dengan syarikat induk terdekatnya, Yusen Logistics Co., Ltd., sebuah syarikat logistik udara terkemuka di Jepun," katanya. - DagangNews.com