Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 4 Okt. - Econpile Holdings Bhd. menjangkakan perolehan kontrak baharu sebanyak RM300 juta bagi tahun kewangan 2022 di tengah-tengah pelancaran projek awam yang kurang memberangsangkan.
Bagaimanapun, perolehan projek tersebut adalah lebih rendah berbanding nilai kontrak yang diperolehnya pada tahun sebelumnya sebanyak RM508.6 juta, menurut AmInvestment Bank Research.
Keadaan ini jelas Econpile dalam taklimatnya bersama penganalisis Jumaat lalu, disebabkan aliran projek awam yang kurang memberangsangkan disebabkan terdapatnya beberapa kekangan dan prosedur yang ketat pada ketika penularan wabak COVID-19 semakin meningkat.
Ini menjadikan firma itu kekal berhati-hati terhadap sektor pembinaan negara terutama selepas Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dibentangkan yang menyaksikan peruntukan pembangunan sebanyak RM400 bilion berbanding RM248.5 bilion di bawah RMKe-11.
Selain itu, katanya, lebihan bekalan rumah berkediaman tinggi dan ruang niaga di pusat beli-belah dan pejabat, secara tidak langsung mencerminkan prospek lemah bagi kontraktor yang bergantung kepada kontrak kerja-kerja cerucuk seperti Econpile.
"Dalam jangka masa terdekat, kami difahamkan Econpile akan terus menumpukan pada kerja-kerja cerucuk/substruktur berskala kecil (di bawah nilai RM50 juta) daripada projek hartanah swasta tempatan (yang kami percaya seperti kerja-kerja cerucuk bagi Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman yang diperolehnya baru-baru ini," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dari segi projek, Econpile memperoleh projek luar negara yang besar berjumlah AS$85.7 juta (RM347.6 juta) bagi kerja-kerja cerucuk dan substruktur untuk projek Naga 3 yang disokong oleh MCC International Incorporation Ltd di Phnom Penh, Kemboja dan mula menyumbang sejak suku keempat 2021 (April-Jun).
Dengan rangkaian meluas dan pengetahuan dalam pasaran rantaian bekalan tempatan, kumpulan bersedia untuk mengambil lebih banyak kontrak cerucuk di Kemboja.
Secara keseluruhan, AmInvestment mengekalkan saranan 'underweight' ke atas saham Econpile dengan nilai saksama tidak berubah pada 21 sen.
Pada masa sama, menurutnya, sektor pembinaan negara masih berdepan pelbagai cabaran makro dan operasi termasuk hutang negara yang tinggi dan kontraktor perlu mengambil risiko dengan melaksanakan model perkongsian awam-swasta (PPP).
"Di samping itu, persaingan sengit (dengan kemunculan kontraktor asing terutamanya firma gergasi dari China), kos operasi yang tinggi dan risiko, dan gangguan rantaian bekalan dan kecekapan yang lebih rendah ekoran situasi pandemik turut memberi cabaran kepada sektor ini," jelasnya. - DagangNews.com