KUALA LUMPUR 9 Mac - Kenanga Research mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor pengguna walaupun menyedari bahawa pengusaha makanan dan minuman (F&B) berdepan penguncupan margin keuntungan.
Firma itu menjangkakan sektor itu kekal berdaya tahan pada 2023 disokong peningkatan kehadiran pelanggan, kuasa membeli yang kukuh (kumpulan M40) selain kehadiran semula pelancong antarabangsa.
"Bagaimanapun, kami kekal berhati-hati terhadap margin keuntungan pengusaha segmen F&B yang rendah akibat peningkatan kos operasi yang datang daripada input dan haji pekerja," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, segmen runcit berkemungkinan mengekalkan jumlah jualan kerana asas pelanggan adalah ke arah kumpulan M40, yang kuasa perbelanjaannya disokong oleh kunci kira-kira isi rumah yang stabil.
Katanya, segmen F&B sebaliknya berkemungkinan mengekalkan jualan mereka yang teguh tetapi akan mengalami penguncupan margin keuntungan kerana mereka mempunyai sedikit ruang untuk menaikkan harga memandangkan asas pelanggan mereka yang kebanyakannya B40 yang terkesan akibat inflasi.
Sementara itu, firma itu mengunjurkan peningkatan pada separuh kedua hingga 2023 (2HFY23) bagi sektor pengguna dengan bermulanya perayaan utama dan cuti sekolah sementara perbelanjaan pengguna terus pulih.
"Pergerakan membeli-belah yang kukuh untuk sambutan Tahun Baharu Cina dan perkara yang sama mungkin akan berulang menjelang Aifil Fitri pada April 2023," katanya.
Bagi suku keempat 2022, firma penyelidikan itu berkata, keputusan sektor pengguna sebahagian besarnya menepati unjurannya dengan 59% syarikat di bawah liputannya datang dalam jangkaan.
Katanya, bilangan besar keputusan bagi suku keempat 2022 membayangkan pengurusan yang lebih baik dan kecekapan operasi mengelak tekanan kos yang meningkat. - DagangNews.com