Sektor penjagaan kesihatan diramal catat pertumbuhan mampan pada separuh kedua 2024, kata HLIB | DagangNews Skip to main content

Sektor penjagaan kesihatan diramal catat pertumbuhan mampan pada separuh kedua 2024, kata HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Julai - Sektor penjagaan kesihatan di negara ini diramal terus merekodkan pertumbuhan mampan pada separuh kedua tahun ini dan IHH Healthcare dilihat menjadi penerima manfaat utama.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, sektor penjagaan kesihatan domestik akan dirangsang oleh pengukuhan aset hospital yang mantap dan pertumbuhan berterusan dalam pelancongan perubatan.

 

Firma penyelidikan itu kekal 'overweight' terhadap sektor itu bagi 2024 dengan IHH Healthcare sebagai pilihan utama dengan harga sasaran RM7.67 sesaham kerana percaya harga saham syarikat itu akan mengalami aliran menaik pada tahun-tahun akan datang.

 

Katanya, terdapat dua tawaran awam permulaan (IPO) hospital masuk yang cukup besar pada 2026 dan 2027 yang dijangka dinilai sekurang-kurangnya 20 kali ganda daripada nilai perusahaan kepada pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan nisbah pelunasan (EV/ EBITDA).

 

Firma itu berkata, ini boleh mendorong pelabur untuk meneliti perbezaan penilaian berbanding IHH dan KPJ Healthcare Bhd pada 2026 dan seterusnya.

 

"Antara kedua-duanya, kami percaya bahawa IHH mempunyai potensi untuk membezakan dirinya kerana kepelbagaian geografinya merentas negara di Singapura, Malaysia, Turkiye, Eropah dan India, membolehkan kumpulan itu memanfaatkan pertumbuhan di pelbagai negara.

 

"IHH mempunyai jenama global yang terkenal seperti Mont Elizabeth, Gleneagles, Pantai, Acibadem dan Fortis, serta purata EV/EBITDA sejarah lima tahun dan tiga tahun yang lebih tinggi masing-masing sebanyak 17 kali dan 15 kali," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

HLIB berkata, KPJ Healthcare dan IHH Healthcare kini mengalihkan fokus bagi mengukuhkan rangkaian hospital melalui pengembangan hospital sedia ada dan menubuhkan pelbagai pusat pengkhususan.

 

Katanya,penggabungan kedua-dua strategi itu boleh memberikan nisbah keuntungan dan pulangan yang lebih stabil dan di bawah senario kenaikan harga pada tahun kewangan 2024 (FY24) dan seterusnya. 

 

Kedua-dua IHH Healthcare dan KPJ Healthcare merancang untuk meningkatkan kapasiti katil masing-masing daripada 12,246 dan 3,520 pada masa ini kepada 16,250 (33%) dan 5,000 (42%) menjelang 2028.

 

Mengulas menenai pelancongan perubatan di Malaysia, HLIB berkata, Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) meramalkan pendapatan meningkat 15% lagi pada 2024 kepada RM2.4 bilion, yang konsisten dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 15% pada 2011 hingga 2019.

 

"Kami percaya pertumbuhan ini wajar disebabkan oleh harga Malaysia yang lebih berpatutan tanpa menjejaskan penjagaan berkualiti. 

 

"Selain itu, ia memenangi bahagian pasaran dari Singapura untuk pesakit Indonesia yang menjalani pemeriksaan kesihatan dan endoskopi (perkhidmatan perubatan bernilai rendah), hasil daripada harga yang lebih rendah daripada rakan setara Malaysia," katanya. - DagangNews.com