Selepas PKPB, kerajaan dijangka umum pakej rangsangan tambahan? | DagangNews Skip to main content

Selepas PKPB, kerajaan dijangka umum pakej rangsangan tambahan?

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Okt. - Tarikh tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menjelang hujung bulan ini hanya berbeza enam hari sahaja dengan perjumpaan terakhir Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) dan seterusnya Bajet 2021. 

Melihatkan jarak jumlah hari yang pendek itu, adakah ini bermaksud kerajaan akan ‘memberi kejutan’ dengan pakej rangsangan tambahan lain pula?

Nilai rangsangannya mungkin sedikit memandangkan PKPB kali ini lebih singkat, menurut ramalan CGS-CIMB Research.

Malah, CGS-CIMB juga tidak menolak kemungkinan bahawa BNM akan mengurangkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas pada bulan hadapan.

Baca : Belanjawan 2021 : Dijangka tiada cukai baharu - UOB

“Kami fikir pembuat dasar fiskal dan monetari cenderung untuk bertindak balas dengan pakej rangsangan tambahan walaupun nilai yang terhad.

“Beberapa langkah rangsangan utama telah dilanjutkan sehingga penghujung 2020 atau awal 2021 termasuk moratorium pinjaman (bersasar), tambahan Bantuan Prihatan Nasional 2.0, Program Subsidi Upah dan Geran Khas Prihatin.

Baca : 4 sektor Malaysia bakal terjejas akibat PKPB

MPC BNM dijadualkan pada 3 November, manakala Bajet 2021 pula berlangsung pada 6 November 2020.

Selepas kerajaan mengumumkan PKPB di Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur dan seluruh negeri Sabah, pasaran saham Malaysia hari ini dibuka lebih rendah.

Memandangkan PKPB kali ini dijangka lebih ringkas, maka pelaksanaannya tidak memberi impak signifikan ke atas perolehan KLCI, sekiranya tidak dilanjutkan melebih dua minggu dan diperluas ke seluruh Malaysia. 

“Bagaimanapun, ia dijangka mempengaruhi sentimen pasaran terhadap potensi pengurangan perolehan memandangkan pasaran saham telah menjangkakan pemulihan keuntungan bagi korporat pada separuh tahun kedua 2020 dengan harapan penularan COVID-19 dapat dikawal,” tambah CGS-CIMB. 

Sehubungan itu, sasaran KLCI diletakkan pada paras 1,520. - DagangNews.com