Semak apakah anda disekat ke luar negara untuk elak ditahan di lapangan terbang - LHDN  | DagangNews Skip to main content

Semak apakah anda disekat ke luar negara untuk elak ditahan di lapangan terbang - LHDN 

Oleh BERNAMA

KUALA LUMPUR 3 Sept — Pembayar cukai dinasihatkan menyemak status sekatan perjalanan mereka terlebih dahulu sebelum membuat keputusan melancong ke luar negara.

 

Pegawai Perhubungan Awam Lembaga Hasil Dalam Negeri Azaharuddin Mohd Ali berkata, langkah itu penting bagi mengelak tekanan saat akhir terkandas di lapangan terbang akibat tunggakan cukai.

 

Beliau berkata LHDN boleh mengambil tindakan melalui Perintah Potongan Gaji (CP38), selain mengenakan tindakan mahkamah dan sekatan perjalanan kepada mereka yang mempunyai tunggakan cukai.

 

 

“Sekatan perjalanan, bagaimanapun, akan menjadi langkah terakhir yang dikenakan untuk mewujudkan komuniti pembayar cukai yang patuh dan bertanggungjawab di samping memastikan tiada ketirisan cukai dan memberi keadilan kepada pembayar cukai lain,” katanya dalam Bernama Radio “Klinik Cukai — Sekatan Perjalanan: Apa Perlu Dilakukan?” program hari ini.

 

Beliau berkata semakan status sekatan perjalanan boleh dibuat melalui portal Semakan Status Perjalanan Imigresen (SSPI) Jabatan Imigresen di https://sspi.imi.gov.my/.

 

Azaharuddin berkata sekatan perjalanan akibat tunggakan cukai boleh ditarik balik serta-merta selepas pembayar cukai menjelaskan tunggakan mereka secara dalam talian di portal MyTax di https://mytax.hasil.gov.my/.

 

 

wasiyyah

 

 

Bagaimanapun, katanya mereka yang tidak mampu menjelaskan tunggakan cukai sepenuhnya, boleh berbincang dengan LHDN bagi mendapatkan kebenaran mendapatkan pelepasan sementara mengikut tempoh yang dipersetujui.

 

"... kita tahu mungkin ada pembayar cukai yang perlu meninggalkan negara atas sebab-sebab mendesak... ia boleh dibincangkan... kita tidak begitu kejam untuk meminta bayaran penuh," katanya.

 

Pada masa sama, Azaharuddin turut menasihati pembayar cukai supaya sentiasa mengemas kini maklumat peribadi mereka dalam pangkalan data LHDN di portal MyTax bagi membolehkan agensi itu memaklumkan sebarang tunggakan cukai atau sekatan perjalanan yang dikenakan. - DagangNews.com