KUALA LUMPUR 5 Okt - Sembilan Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) di Pahang berjaya menerima Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) membabitkan seramai 11,868 orang pekebun kecil dengan keluasan 36,336.75 hektar.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, terdapat 12,561 orang pekebun kecil yang mengusahakan kebun sawit dengan keluasan 41,383 hektar di Pahang sehingga 30 September 2023, menjadikan purata milik kawasan tanaman sawit bagi setiap pekebun kecil di Pahang ialah 3.3 hektar.
Katanya, pelaksanaan MSPO bagi pekebun kecil persendirian di bawah seliaan MPOB telah berjaya mempersijilkan 162 SPOC melibatkan 196,607 orang pekebun kecil dengan keluasan kebun 736,822 hektar di seluruh negara sehingga September tahun ini.
“Pelaksanaan Pensijilan MSPO dapat meningkatkan daya saing dan memperkukuhkan imej industri sawit negara dan memastikan penanaman sawit menepati peraturan alam sekitar dan amalan pertanian baik yang diterima di peringkat antarabangsa.
“Pelaksanaan Pensijilan MSPO berdasarkan peraturan dan amalan kemampanan bagi pengeluaran minyak sawit mampan dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil,” kata dalam satu kenyataan selepas Program Pemantapan MSPO Pekebun Kecil Negeri Pahang, hari ini.
Ahmad Parveez berkata, kerajaan juga menyediakan insentif sebanyak RM30 juta pada 2019 yang merangkumi kos yuran Pensijilan MSPO, latihan berkaitan MSPO, penyediaan rak penyimpanan bahan kimia dan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk membantu pekebun kecil.
Katanya, Kementerian Perladangan dan Komoditi juga menubuhkan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) di seluruh negara bertujuan menyatukan pekebun kecil sawit bagi menjalankan aktiviti ekonomi melalui amalan pertanian baik dan jualan buah tandan segar sawit secara berkelompok terus ke kilang melalui penubuhan Pusat Timbang.
Sehingga 30 September 2023, sebanyak 69 buah KPSM telah ditubuhkan di Malaysia dengan 24 daripadanya terletak di Semenanjung Malaysia.
Jumlah keahlian KPSM di negeri Pahang adalah seramai 421 orang yang masih rendah jika dibandingkan dengan bilangan pekebun kecil persendirian yang mengusahakan tanaman sawit.
Sebanyak 69 buah Pusat Timbang telah siap dibina sepenuhnya di seluruh negara dengan jumlah jualan buah tandan segar sebanyak 290,446.05 tan sehingga September tahun ini.
Beliau berkata, berkata MPOB turut melaksanakan Skim Insentif Integrasi Tanaman dengan Sawit (ITa) bertujuan untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun kecil sawit persendirian melalui penggunaan tanah dan sumber semula jadi yang optimum.
Program integrasi itu melibatkan tanaman kontan seperti pisang, jagung, tembikai, betik, dan nanas dan MPOB telah menambahbaik skim tersebut dengan memperkenalkan dua jenis tanaman iaitu serai dan cendawan. - DagangNews.com