Semua PLC perlu adakan mesyuarat agung secara hibrid atau fizikal mulai 1 Mac 2025 | DagangNews Skip to main content

Semua PLC perlu adakan mesyuarat agung secara hibrid atau fizikal mulai 1 Mac 2025

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Berhad hari ini mengumumkan semua syarikat awam tersenarai (PLC) di Bursa Malaysia perlu mengadakan mesyuarat agung secara hibrid atau fizikal mulai 1 Mac 2025.

 

Semasa tempoh pandemik COVID-19, PLC dibenarkan menjalankan mesyuarat agung secara maya.

 

Walau bagaimanapun, meskipun pandemik telah berakhir, lebih daripada 50% PLC didapati masih menjalankan mesyuarat agung tahunan (AGM) secara maya sepenuhnya pada separuh pertama 2024.

 

Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, walaupun mesyuarat secara maya mencapai matlamatnya semasa pandemik, sudah tiba masanya untuk PLC beralih kepada format mesyuarat secara hibrid atau fizikal.

 

"Mesyuarat pemegang saham, terutamanya AGM merupakan sesi penting yang melibatkan lembaga pengarah dan pengurusan. 

 

“Pelabur domestik dan antarabangsa juga telah menyatakan keutamaan mereka untuk menjalankan mesyuarat secara hibrid atau fizikal. 

 

"Ini dapat memperkukuh tadbir urus yang baik dengan menggalakkan ketelusan dan akauntabiliti," ujarnya. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift memberi sokongan penuh terhadap pendekatan secara hibrid kerana ia mencapai keseimbangan tepat antara kebolehcapaian dan penglibatan. 

 

"Dengan pimpinan melalui teladan, kami memastikan kebolehcapaian dan keterangkuman yang lebih luas untuk semua pemegang saham, dalam memupuk kepercayaan dan perbincangan yang lebih menarik," ulas beliau.

 

Menurut kedua-dua pihak, mesyuarat secara fizikal memelihara ketelusan hak pemegang saham dan memastikan tiada yang dikecualikan yang disebabkan oleh halangan teknologi. 

 

Katanya, walaupun penyertaan secara maya meningkatkan kebolehcapaian, PLC harus berusaha untuk mengadakan mesyuarat agung secara hibrid atau sekurang-kurangnya secara fizikal. 

 

"Ini dapat memastikan penglibatan yang lebih bermakna oleh pemegang saham, melindungi hak pemegang saham, dan menegakkan integriti proses mesyuarat agung,” ujarnya.

 

Sementara itu, keperluan tersebut akan digunapakai untuk semua mesyuarat agung PLC di Pasaran Utama dan ACE Bursa Malaysia yang akan diadakan mulai 1 Mac 2025.- DagangNews.com