Semua sektor ekonomi di Klang boleh beroperasi seperti biasa | DagangNews Skip to main content

Semua sektor ekonomi di Klang boleh beroperasi seperti biasa

Mohamed Azmin Ali

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 8 Okt. - Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) ke-22 membenarkan semua sektor ekonomi di Daerah Klang untuk terus beroperasi seperti biasa.

Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan itu mengambil kira keperluan untuk mengimbangi perlindungan keselamatan dan kesihatan rakyat serta menjamin kelangsungan pekerjaan dan ekonomi. 

"Daerah Klang merupakan pusat aktiviti perindustrian yang besar serta merupakan hab utama bagi pelabuhan kontena di Malaysia, dengan sumbangan aktiviti perdagangan di Pelabuhan Klang melebihi RM400 bilion pada tahun 2019.

"Justeru, setelah mempertimbangkan situasi kesihatan semasa di Daerah Klang dan kepentingan menjamin kemampanan ekonomi, Sidang MKN hari ini telah memutuskan untuk membenarkan semua sektor ekonomi di Daerah Klang untuk terus beroperasi seperti biasa dengan pematuhan ketat kepada (SOP).

"Keputusan kerajaan ini mengambil kira keperluan untuk mengimbangi perlindungan keselamatan dan kesihatan rakyat serta menjamin kelangsungan pekerjaan dan usaha mencerdaskan ekonomi selain memastikan tiada gangguan rantaian bekalan seperti logistik, pengangkutan, makanan & minuman dan lain-lain lagi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) ke-22 yang dijalankan secara maya itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan secara khusus isu penularan pandemik COVID-19 termasuk situasi terbaru di Daerah Klang. 

Tambahnya, sidang MKN telah memberi perhatian dan mengambil maklum tentang perkembangan dan situasi semasa termasuk maklum balas yang diterima daripada persatuan-persatuan industri dan dewan-dewan perniagaan tempatan dan antarabangsa.

Negeri Selangor menyumbang sebanyak 24% kepada keseluruhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia dan 30% daripada keseluruhan sektor pembuatan negara. 

Daripada aspek pasaran buruh pula, terdapat hampir 3.5 juta pekerja di Selangor yang mewakili 23.2 % daripada jumlah keseluruhan tenaga buruh negara. 

Pihak berkuasa turut diarahkan untuk meningkatkan penguatkuasaan pematuhan SOP bagi menjamin keselamatan pekerja-pekerja dan rakyat di daerah berkenaan.

"MITI ingin mengingatkan bahawa syarikat-syarikat dan industri yang berkaitan wajib mematuhi SOP yang ditetapkan. Kegagalan syarikat untuk berbuat demikian boleh mengakibatkan operasi diberhentikan serta merta dan berdepan dengan tindakan undang-undang mengikut akta dan peraturan semasa.

"Dalam memastikan keberkesanan dan kemampanan fasa pemulihan ekonomi pada masa ini, kerajaan bertegas tidak akan berkompromi dalam usaha menjamin keselamatan dan kesihatan rakyat," tegasnya. 

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di beberapa kawasan iaitu Sandakan, Papar dan Tuaran di Sabah serta Klang di Selangor bermula 9 Oktober ini.

Langkah itu diambil berikutan peningkatan kes positif COVID-19 di empat daerah berkenaan yang kini diisytiharkan Zon Merah. - DagangNews.com