Semua stesen dan terminal pengangkutan awam di kawasan PKP kekal beroperasi - MOT | DagangNews Skip to main content

Semua stesen dan terminal pengangkutan awam di kawasan PKP kekal beroperasi - MOT

ANGGOTA polis berkawal di hadapan Stesen LRT Masjid Jamek semasa Perintah Kawalan Pergerakan di Kuala Lumpur. - Gambar Bernama

 

KUALA LUMPUR 9 Mei - Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) mengumumkan semua perkhidmatan pengangkutan awam di stesen dan terminal yang tersenarai di bawah sistem amaran awal Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) akan terus beroperasi.

 

Walau bagaimanapun, semua premis perniagaan di stesen yang disenaraikan di bawah akan ditutup selama tiga (3) hari dari 9-11 Mei 2021 mengikut arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti yang diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan) pada 8 Mei 2021. Sebarang penutupan atau pembukaan premis perniagaan ini adalah tertakluk kepada arahan MKN dari semasa ke semasa.


Premis perniagaan di 3 stesen ini ditutup dari 9 hingga 11 Mei:
1. LRT KLCC
2. LRT Masjid Jamek
3. KL Sentral


Perkhidmatan pengangkutan awam sangat penting bagi negara, terutama bagi barisan hadapan yang bergantung pada operasi berterusan walaupun semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Selangor dan Kuala Lumpur.

 

Semua stesen pengangkutan awam perlu sentiasa dibuka bagi tujuan pemindahan atau penghantaran bekalan penting sekiranya berlakunya kecemasan.

 

Stesen pengangkutan ini juga dilengkapi dengan alat pengimbas suhu (thermal scanners) disamping penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 yang ketat.

 

Dalam masa sama, MOT juga ingin mengingatkan kepada semua pengguna pengangkutan awam untuk terus mematuhi SOP di semua stesen dan terminal termasuk penggunaan ‘hand sanitiser’, memakai pelitup separuh muka dan menjaga jarak fizikal sebaik mungkin serta mengimbas kod QR MySejahtera. - DagangNews.com