JOHOR BAHRU 22 Mac - Senai Airport City Sdn. Bhd. iaitu anak syarikat milik penuh MMC Corporation Bhd. akan menerima pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM250 juta tahun ini dengan sasaran penggunaan kawasan seluas 40.46 hektar.
Ketua Pegawai Eksekutif SACSB, Gan Seng Keong berkata, pihaknya kini dalam proses perbincangan dengan tiga buah syarikat antarabangsa iaitu dua dari Taiwan termasuk sebuah yang disenaraikan di Nasdaq dan satu dari Jerman.
Katanya, pelaburan baharu itu akan tertumpu kepada sektor elektrik dan elektronik (E&E) yang bakal mewujudkan kira-kira 3,000 peluang pekerjaan baharu.
"Kami memberi fokus kepada industri berteknologi tinggi dan ekosistem yang bersih.
"Syarikat yang berada di sini adalah industri tinggi dan kebanyakannya beroperasi secara automasi. Lebih 90% peluang pekerjaan adalah untuk rakyat tempatan manakala 10% melibatkan tenaga mahir serta pengurusan tertinggi adalah dari luar," katanya pada sesi lawatan media ke Senai Airport City.
Senai Airport City merupakan pembangunan perindustrian bersepadu seluas 1099.9 hektar yang juga antara pilihan FDI di Malaysia atas faktor infrastruktur yang sedia ada dan lokasinya yang strategik.
Sebagai pemaju induk pembangunan, SAC mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) yang dianggarkan sebanyak RM5 bilion.
Seng Keong berkata, mereka perlu menarik pelabur yang boleh mengejar garis masa yang singkat.
"Selepas COVID-19, kami sememangnya menerima masuk beberapa pelabur, namun cabarannya apabila perlu menarik minat pelabur yang boleh mengejar garis masa untuk menyiapkan projek dengan segera.
"Pelabur perlu segera memulakan operasi mereka tahun ini bagi membolehkan mereka mempelbagaikan rantaian bekalan mereka di rantau Asia Pasifik," katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya berbesar hati apabila melihat usaha kerajaan negeri Johor menaik taraf Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) yang menjadi laluan masuk utama ke Senai Airport City.
"Pada setiap waktu puncak, berlaku kesesakan lalu lintas yang memberi kesan kepada laluan trafik awam dan juga komersial.
“Jadi, dengan menaik taraf dan melebarkan PLUS, Itu akan membantu dari segi mengurangkan masalah logistik dari kawasan perindustrian Senai Airport City dan juga ke pelabuhan," katanya. - DagangNews.com