Seni Jaya catat untung RM1 juta pada 2QFY22 berbading rugi RM1.9 juta pada 2QFY21 | DagangNews Skip to main content

Seni Jaya catat untung RM1 juta pada 2QFY22 berbading rugi RM1.9 juta pada 2QFY21

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Seni Jaya Corporation Berhad kembali mencatatkan keuntungan bagi suku kedua berkahir 30 Jun 2022 (2QFY22) sebanyak RM1 juta iaitu peningkatan sebanyak RM2.9 juta berbanding kerugian bersih RM1.9 juta pada 2QFY21.

 

Keuntungan itu dipacu oleh peningkatan hasil hampir enam kali ganda daripada RM1.5 juta pada 2QFY21 kepada RM8.9 juta pada 2QFY22.

 

Bagi 1HFY22, kumpulan itu merekodkan hasil sebanyak RM17.2 juta sekaligus menjadikan keuntungan bersih mereka kepada RM1.5 juta berbanding kerugian bersih RM3.5 pada 1HFY21. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Seni Jaya, Jeff Cheah See Heong berkata, pihaknya gembira kerana berjaya meneruskan momentum pemulihan kerana pada 2022, semua dapat melihat kesan daripada pembukaan semula semua sektor ekonomi.

 

Beliau berkata, kesannya jalan raya kembali sesak selepas orang ramai mula kembali ke pejabat seperti biasa dan membuatkan perbelanjaan untuk papan iklan meningkat.

 

"Selain daripada landskap operasi yang kondusif, pemulihan kukuh yang dicatatkan juga disebabkan oleh pelan transformasi perniagaan yang kami mulakan pada pertengahan 2021.

 

"Kami juga telah menambah aset dengan harga premium seperti papan iklan bersaiz mega dan papan iklan digital," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Jeff Chan berkata, kumpulan itu berbesar hati untuk berkongsi bahawa gantri digital yang menakjubkan telah disiapkan dan beroperasi dengan permintaan yang sihat dan maklum balas daripada pelanggan kami.

 

"Gantri digital yang menakjubkan itu terletak di Kelana Jaya di sepanjang Lebuhraya Damansara–Puchong atau Lebuhraya Damansara–Puchong (LDP) dan meliputi kedua-dua laluan lalu lintas.

 

"Ia adalah yang pertama seumpamanya dan satu-satunya gantri digital gergasi di sepanjang LDP yang membolehkan pelanggan kami berkongsi cerita atau mesej yang lebih berkesan,” katanya.

 

Beliau berkata, pihaknya bersedia untuk berhadapan cabaran termasuk kenaikan kadar inflasi di peringkat global.

 

"Kini kami adalah salah satu syarikat pengiklanan terbesar di negara ini, kami berada di landasan yang lebih baik dan lebih kukuh untuk menahan faktor luaran ini," katanya. - DagangNews.com