KUALA LUMPUR 25 Ogos - Platform digital pemusatan Serba Dinamik Group Bhd, E- Security and Privacy Channel (ESPC) semakin memberi impak yang besar dalam dunia keselamatan siber.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata ESPC tidak hanya menumpukan pada penyediaan penyelesaian teknikal bersama rakan strategiknya, tetapi turut meliputi antara lain pendidikan keselamatan siber dan latihan profesional, khidmat masyarakat serta penyelidikan dan pembangunan.
"ESPC amat unik dari sudut fokusnya dalam menangani masalah manusia dalam keselamatan siber dan privasi - sebagai pusat sehenti untuk penyelesaian teknikal, usaha pencegahan jenayah siber, penglibatan masyarakat dan keperluan perusahaan," katanya.
Menurut Serba Dinamik, setakat ini ESPC adalah satu-satunya model perniagaan di Malaysia dan global -- yang menawarkan media dan penyiaran dalam talian, perkhidmatan teknologi keselamatan siber, pendidikan dan latihan, khidmat rundingan dan masyarakat, di bawah satu bumbung. - DagangNews.com