Serba Dinamik bincang keperluan skop penilai bebas 25 Jun | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik bincang keperluan skop penilai bebas 25 Jun


KUALA LUMPUR 24 Jun - Serba Dinamik Holdings Berhad bakal mengadakan mesyuarat Lembaga Pengarah esok, bagi memutuskan sama ada skop penilai bebas perlu diperluas atau sebaliknya.

 

Dalam jawapan kepada pertanyaan Bursa Malaysia, Serba Dinamik berkata Lembaga Pengarah bersetuju untuk melantik penilai bebas bagi menilai kebenaran dan ketepatan perkara yang diketengahkan oleh KPMG.

 

“Pada 22 Jun, 2021, syarikat telah memfailkan writ dan pernyataan tuntutan terhadap KPMG atas alasan kecuaian profesional, pelanggaran kontrak dan pelanggaran kewajipan statutori.

 

“Oleh itu, Lembaga Pengarah akan berbincang pada 25 Jun untuk melihat sama ada skop penilai bebas perlu diperluas atau sebaliknya.

 

“Berdasarkan nasihat undang-undang, syarikat berpendapat bahawa KPMG tidak boleh lagi bertindak secara bebas sebagai juruaudit luar.

 

“Syarikat akan membuat pengumuman dengan segera mengenai perkara ini selepas memuktamadkan skop kerja yang disebutkan,” menurut Serba Dinamik dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Rabu.

 

Kenyataan Serba Dinamik itu adalah sebagai jawapan kepada pertanyaan Bursa Malaysia mengenai status dan jangka masa pelantikan penilai bebas syarika itu.

 

Pada Mei lepas, Serba Dinamik berkata juruaudit KPMG PLT tidak dapat mengesahkan kontrak dan urus niaga bernilai RM3.5 bilion dengan 11 pelanggan.

 

Pada 22 Jun, 2021, Serba Dinamik mengambil tindakan undang-undang terhadap KPMG, menyatakan juruaudit itu telah mengenal pasti beberapa isu dengan cuai, justeru, meminta kepada semakan bebas.

 

Bursa dalam kenyataan media pada Rabu, berkata Serba Dinamik perlu mengambil langkah yang diperlukan untuk melantik penilai bebas dengan segera bagi menangani ketidaktentuan berhubung kebenaran dan ketepatan perkara itu seperti yang dibangkitkan oleh juruaudit luarnya.

 

Bursa Malaysia turut menafikan bahawa Pengerusi Serba Dinamik Datuk Mohamed Ilyas Pakeer Mohamed telah menghubungi bursa mengenai perkara itu, seperti yang dinyatakan dalam laporan berita. Bursa Malaysia menafikan terdapat perbincangan. 

 

“Bursa komited untuk memastikan penyebaran maklumat yang tepat dan tepat pada masanya untuk pasaran modal,” katanya. - DagangNews.com