Serba Dinamik guna teknologi satelit bantu penduduk Jeli nikmati internet | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik guna teknologi satelit bantu penduduk Jeli nikmati internet

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) yang juga Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed meninjau penggunaan internet SK Lawang di Kampung Lawang di Jeli, Kelantan.

 

JELI 18 Julai - Serba Dinamik Holdings Bhd melakar membantu penduduk Jeli di Kelantan untuk menikmati internet dengan menggunakan teknologi satelit dalam inisiatif program khidmat masyarakat syarikat itu.

 

Syarikat senaraian awam itu dalam satu kenyataan berkata, program khidmat masyarakat internet yang dilaksanakan khususnya kepada masyarakat Kampung Lawang Jeli, Kelantan itu adalah antara usaha dalam menyokong kerajaan pelbagai kementerian di Malaysia untuk menawarkan penyelesaian kesalinghubungan internet di kawasan terpencil.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata masalah yang dihadapi di kawasan itu kini selesai dengan kerjasama oleh syarikat Serba Dinamik dan syarikat Mosyawa.

 

Katanya, dengan penggunaan kaedah teknologi satelit itu, ia boleh melegakan penduduk di sekitar 500-meter kawasan terbabit yang sebelum ini tidak mempunyai capian internet berikutan kawasannya yang terpencil.

 

Ahli Parlimen Jeli itu turut memberitahu teknologi satelit berkenaan juga telah dipasang di dua lokasi termasuk Sekolah Kebangasaan (SK) Lawang dan Pusat Internet Kampung Lawang.

 

"Ramai pelajar terjejas pembelajaran akibat masalah akses internet sepanjang pandemik ini. Dengan pemasangan teknologi satelit ini, pelajar dan guru boleh menggunakan keperluan ini bagi menjadi pusat pendidikan dalam menangani masalah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR)", katanya selepas meninjau penggunaan internet SK Lawang di Kampung Lawang di sini hari ini, lapor Berita Harian.

 

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua syarikat Serba Dinamik dan syarikat Mosyawa kerana mengambil inisiatif tersebut melaksanakan program khidmat masyarakat internet bagi merapatkan jurang digital di luar bandar dan kampung.

 

"Dengan semangat muhasabah syarikat Serba Dinamik dan syarikat Mosyawa, insyaAllah bermula minggu depan, seramai 340 pelajar dan 60 guru di sekolah ini boleh menikmati pembelajaran mereka dirumah dan mengajar secara sempurna", katanya.

 

Sementara itu, Naib Presiden Kumpulan Sumber Manusia dan Hal-Ehwal Umum Serba Dinamik, Syaiful Radzman Osman, berkata teknologi satelit yang diusahakan sendiri oleh syarikat tempatan ini adalah antara usaha dorongan sosial dan ekonomi bagi memastikan masyarakat kekal relevan dengan dunia luar.

 

"Kita berpuas hati hari ini dengan pemasangan capian internet di kawasan Jeli kerana ia telah memudahkan proses pembelajaran online (PDPR) dan turut membantu ekonomi penduduk setempat melalui e-dagang", katanya

 

Beliau yang juga Pengerusi Serba Care team juga menerangkan projek pemasangan capian internet akan diperluaskan ke negeri lain termasuk Perak, Johor dan Melaka.

 

Pengerusi Serba Care team turut menjelaskan dengan permintaan penduduk Kelantan untuk menambah lagi teknologi satelit internet di negeri itu, beliau akan mengemukakan cadangan itu kepada pihak pengurusan syarikat. - DagangNews.com