Serba Dinamik meterai kerjasama dengan KSTI Sabah kurangkan jurang digital luar bandar | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik meterai kerjasama dengan KSTI Sabah kurangkan jurang digital luar bandar

Majlis pelancaran pemasangan SURFI Internet VSAT  oleh Datuk Yakub Khan bersama Datuk Jahid Jahim di Kampung Betutai, Tuaran, Sabah, baru-baru ini.

 


TUARAN 22 Sept - Syarikat penyedia capaian internet melalui teknologi satelit tempatan, Serba Dinamik Group Berhad telah membuat pemasangan Proof of Concept (POC) bagi capaian satelit internet Very Small Aperture Terminal (VSAT) di Kampung Betutai, Tuaran, Sabah baru-baru ini.

 

Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi & Inovasi (KSTI) Sabah, Datuk Yakub Khan dan turut dihadiri Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, Timbalan Setiausaha Tetap KSTI,  Zainuddin Aman serta Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Negeri Sabah & Wilayah Persekutuan Labuan, Izani Othman.

 

Fasa ujian teknikal turut disokong oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Jabatan Ketua Menteri dan syarikat tempatan Bumi Bakti Gemilang Sdn Bhd dalam memberikan latihan dan program kesedaran kepada masyarakat setempat berkenaan teknologi angkasa dalam urusan komunikasi. 

 

Dengan adanya kemudahan seperti ini di beberapa kawasan tumpuan komuniti seperti di Surau Hidayyah, Kg Betutai, Tuaran, masyarakat dapat menikmati data internet melalui kemudahan WiFi secara percuma dalam tempoh percubaan sekurang-kurangnya 2 bulan.

 

Dalam ucapannya, Yakub Khan berkata, penggunaan internet dalam kalangan masyarakat semakin meningkat sejak berlakunya pandemik COVID-19.

 

''Dengan wujudnya teknologi ini, masyarakat yang tiada liputan jalur lebar dapat mengakses maklumat dengan lebih cepat dan mudah,'' kata beliau.

 

Oleh kerana pemasangan perkakasan VSAT Satelit yang ringkas dan fleksibel, secara tidak langsung ini dapat mewujudkan peluang bagi meningkatkan kemahiran bakat tempatan dalam industri Satelit tanah air.

 

Ini adalah selaras dengan hasrat KSTI, Kerajaan Negeri Sabah, Serba Dinamik dan Bumi Bakti Gemilang dalam menyediakan kemudahan infrastruktur dan transformasi digital untuk rakyat Sabah.

 

Selepas pengujian selesai dilaksanakan, pihak kedua-dua syarikat bakal mengumumkan pelan data WiFi yang berpatutan bagi masyarakat tempatan dengan pengenalan produk VSAT Internet SurFiBah!

 

Pihak syarikat akan menyediakan pelan mudah bagi agen jualan kupon data internet secara berperingkat dan akan bekerjasama dengan agensi tempatan seperti SKMM negeri dan UPPM bagi mengenal pasti kawasan yang berpotensi untuk mendapat capaian Satelit Internet bagi fasa selanjutnya. - DagangNews.com