Serba Dinamik muktamadkan firma penilaian bebas minggu ini | DagangNews Skip to main content

Serba Dinamik muktamadkan firma penilaian bebas minggu ini


KUALA LUMPUR 31 Mei - Serba Dinamik Holdings Bhd telah menyenarai pendek beberapa firma bebas antarabangsa untuk menilai kebenaran dan ketepatan perkara yang dibangkitkan oleh juruaudit luarannya, KPMG PLC.

 

Lembaga pengarahnya dijangka membuat keputusan itu menjelang akhir minggu ini, menurut laporan Bernama.

 

Dalam sidang akhbar Sabtu lalu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Datuk Dr Ir Mohd Abdul Karim Abdullah berkata, berikutan permohonan juruaudit luar itu, Serba Dinamik memutuskan untuk melantik firma bebas bagi membantu menilai perkara yang tidak dapat dilakukan juruaudit luar berkenaan dan menilai proses pengesahan.

 

Sebelum ini, firma audit berkenaan telah membangkitkan beberapa isu antaranya pengesahan pelanggan daripada pelanggan luaran membabitkan transaksi jualan dan carian pelanggan dan syarikat pembekal di Bahrain serta pengesahan kontrak teknologi maklumat mengenai imbangan perdagangan belum terima dan transaksi jualan.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Bukan Bebas Datuk Syed Nazim Syed Faisal berkata cadangan untuk mengeluarkan KPMG PLC telah dibangkitkan bagi memastikan audit berkanunnya untuk siap tepat pada masanya dan operasi Serba Dinamik tidak akan terganggu.

 

Ia susulan keputusan KPMG PLC untuk menghentikan audit itu dan meminta diadakan tinjauan bebas untuk menilai kebenaran dan ketepatan bagi perkara yang digariskan.

 

"Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, kita telah menangani isu berhubung perkara melibatkan KPMG.
“Pemegang saham yang berada dalam lembaga turut memberi perhatian serius dalam hal ini,” kata Syed Nazim.

 

Mohd Abdul Karim berkata, majoriti mudah sebanyak 50.01% diperlukan agar usul itu diluluskan dan beliau menambah bahawa KPMG PLC akan kekal sebagai juruaudit luarannya sekiranya undi yang diperlukan itu tidak tercapai.

 

Beliau menegaskan tiada isu pengesahan dan nilai kontrak seperti yang dibangkitkan oleh juruaudit luaran itu.

 

Serba Dinamik sentiasa meminta pelanggannya untuk terus membantu KPMG menerusi permintaan mereka, kata Mohd Abdul Karim.

 

“Kami merasakan ini tidak adil untuk kami, pemegang saham dan pihak berkepentingan kami apabila juruaudit luaran itu mengambil tindakan sedemikian tanpa penglibatan lanjut dengan pihak pengurusan untuk melengkapkan audit itu; hanya menggariskan isu-isu yang hampir dengan tempoh akhir syarikat itu untuk mengemukakan akaun teraudit,” katanya.

 

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Azhan Azmi berkata, selepas pemegang saham mengemukakan notis khas kepada syarikat berhubung cadangan untuk menukar firma audit, syarikat akan mengeluarkan notis kepada juruaudit luaran sedia ada dan mereka mempunyai tempoh selama tujuh hari untuk memberi respons berdasarkan undang-undang.

 

“Kemudiannya, dalam tempoh tujuh hari selepas itu, lembaga akan terus berbincang dan meneruskan terbitan notis mesyuarat agung luar biasa (EGM). 

 

“EGM akan diadakan selepas 14 hari notis itu diterbitkan. Jadi, secara keseluruhannya adalah 28 hari daripada tarikh notis khas itu diterbitkan. Maka, secara teknikalnya, ia akan diadakan pada 28 atau 29 Jun,” katanya. - DagangNews.com